GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menyita 50 motosikal dalam operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di kawasan kerap mat rempit berlumba haram di sekitar negeri itu, semalam.
Operasi oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dijalankan di beberapa lokasi ‘hotspot’ di daerah Timur Laut dan Barat Daya di bahagian pulau serta Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah(SPT) di tanah besar.
Polis Pulau Pinang, dalam kenyataan menerusi laman Facebook, memaklumkan operasi yang dijalankan bermula jam 11 malam Jumaat hingga 6 pagi Sabtu itu melibatkan tujuh pegawai dan 64 anggota polis JSPT Kontinjen Pulau Pinang.
"Motosikal berkenaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987 dan menahan empat lelaki kerana berlumba atau menunggang motosikal secara berbahaya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.
"Selain itu, polis juga menahan seorang lagi lelaki mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu berkaitan nombor pendaftaraan kenderaan palsu dan sebanyak 230 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik," menurut kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, ACP Tan Cheng San, berkata pihaknya turut mengadakan operasi sama di Jalan Guar Jering,Kampung Terus di Guar Perahu, dekat sini, ekoran aduan berkenaan kegiatan merempit dalam kalangan remaja yang menganggu ketenteraman awam penduduk sekitar.
Katanya, dalam operasi bermula jam 5 petang dan tamat dua jam kemudian itu, pihaknya menyita 26 motosikal dan mengeluarkan 67 saman kerana pelbagai kesalahan trafik.
Menurutnya, operasi tersebut secara giat akan diteruskan bagi membendung aktiviti itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan IPD SPT di talian 04-5306402.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial