EKONOMI

Pasaran Malaysia Penting Kepada Pertumbuhan Tupperware

26/08/2023 11:52 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia, pasaran utama bagi perniagaan Tupperware, adalah penting kepada pertumbuhan dan keupayaan syarikat itu untuk bersaing di peringkat global dalam pasaran produk isi rumah, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tupperware Brands Corporation Miguel Fernandez.

Beliau berkata berdasarkan kepada jualan bersih, Malaysia merupakan pasaran kelima terbesar bagi jenama Tupperware selepas Brazil, Mexico, Amerika Syarikat dan China.

Menurutnya, Tupperware menyediakan peluang perniagaan kepada lebih 35,000 keluarga di Malaysia untuk menyara hidup mereka menerusi jualan produk inovatif jenama ikonik itu. 

“Malaysia adalah salah satu daripada lima negara teratas bagi jualan kami, [dan] kami bergantung kepada lima negara teratas untuk menyokong pertumbuhan kami. Justeru, jelas sekali Malaysia adalah pasaran utama bagi kami,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Fernandez berada di Malaysia sempena program “Jelajah Dunia” Tupperware 2023 yang mana beliau serta Ketua Pegawai Komersil Tupperware Hector Lezama melawat pasaran terbesar Tupperware di seluruh dunia. 

“Kami merancang untuk terus menghasilkan dan melancarkan lebih banyak produk menarik untuk menarik lebih ramai pengguna Tupperware. Dengan segala yang telah kami lancarkan dan berita baik bahawa kami telah menyusun semula hutang kami, saya percaya kami akan menjadi jenama terkemuka bagi tempoh 75 tahun akan datang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif. 

Tupperware menjadi tumpuan berita dunia pada awal tahun ini ekoran isu kekurangan tunainya, namun pengeluar bekas plastik dan produk dapur itu baru-baru ini mengumumkan kejayaan penstrukturan semula hutangnya sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan berterusannya.

Penstrukturan semula hutang itu dijangka meningkatkan fleksibiliti kewangan kepada syarikat untuk meneruskan usaha pemulihannya dan menyediakan pengurangan/peruntukan semula kira-kira AS$150 juta faedah tunai dan yuran, serta melanjutkan tempoh matang kemudahan hutang tertentu, seperti yang dinyatakan oleh syarikat tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal bulan ini.

“Situasi itu telah berakhir,” kata Fernandez, ketika ditanya tentang cabaran kewangan yang dialami syarikat itu sebelum ini. 

“Kami dapat menyusun semula hutang kami dan meneruskan perniagaan kami, termasuk Jelajah Dunia ini. Kami sedang melawat negara-negara yang paling penting (kepada kami), yang mana kami akan membawa banyak berita baik kepada Pasukan Jualan kami. Kami sedang merancakkan semula Pasukan Jualan kami di seluruh dunia,” katanya.

Mengenai kilang pembuatan, Fernandez berkata Tupperware membuat penyumberan luar  pengeluaran barangannya kepada kemudahan pihak ketiga di Malaysia, yang menyediakan acuan dan panduan tentang bahan terbaik untuk digunakan bagi memastikan fungsi dan kualiti yang cemerlang mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Kami menghasilkan pelbagai jenis kategori produk. Jadi, kelebihan kami dalam industri kami adalah acuan yang sangat khusus.Jika lebih banyak acuan berada di kilang yang sama, maka ia tidak akan membantu (pengeluaran). Adalah lebih baik untuk meletakkan banyak acuan di banyak negara, supaya mereka boleh menghasilkan pada masa yang sama untuk memenuhi permintaan pengguna.

“Sebahagian produk dikeluarkan di Malaysia tetapi sebahagian lain adalah diimport disebabkan faktor acuan. Kadang-kadang kami hanya mempunyai satu mesin yang menghasilkan satu produk tertentu dan mesin itu membekalkan permintaan di seluruh dunia,” katanya.

Tupperware mempunyai kilang pembuatan di Belgium, Brazil, Korea Selatan, Mexico, China, India, Portugal, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat

Fernandez berkata Tupperware mengeluarkan produknya mengikut geografi untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Ini termasuk melancarkan produk edisi terhad bagi setiap acara atau peristiwa penting bermusim dan cuti penting untuk pengguna setiap negara.

Sementara itu, Fernandez berkata, syarikat tersebut mempunyai dua strategi berbeza untuk menarik pelanggan daripada generasi muda: inovasi produk dan teknologi.

Menurutnya, untuk menarik minat generasi baharu, kumpulan itu terus melabur dalam alatan digital. 

“Daripada menggunakan kaedah tradisional kami, jenis perniagaan bersemuka, generasi muda ini berinteraksi antara satu sama lain melalui telefon bimbit dan apa yang kami cuba lakukan ialah membina instrumen supaya mereka boleh menjual dan mengiklankan produk melalui alatan digital. Jadi, itulah cara terbaik untuk menarik dan mengekalkan pelanggan melalui teknologi.

“Kami juga mengeluarkan produk yang diterima dengan baik dalam kalangan generasi muda iaitu pengisar mudah alih. Kami baru sahaja melancarkannya ke pasaran Malaysia, tetapi ia telahpun ditawarkan di negara lain dan terus mendapat maklum balas positif daripada generasi muda,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan