EKONOMI

Solarvest Pasang Sistem Pv Solar Atas Bumbung Untuk Loji Toyo Tyre, Kamunting

28/08/2023 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Bhd memperoleh kontrak bagi pemasangan sistem fotovolta (PV) solar bahagian atas bumbung 14 megawatt puncak (MWp) di kilang pembuatan tayar Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd (TTM) di Kamunting, Perak, yang terbesar seumpamanya di kawasan berkenaan.

 Solarvest akan melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian bagi pemasangan sistem PV solar di bangunan/kemudahan utama TTM yang merangkumi kawasan atas bumbung berkeluasan 96,000 meter persegi.

Jangkaan 14 MWp tenaga bersih yang dijana membolehkan TTM mengimbangi 12,195 tan karbon dioksida setahun menerusi inisiatif RE100 syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata pihaknya mengakui dedikasi kukuh TTM untuk mengekalkan operasi yang mampan.

“Berikutan peralihan dunia kepada masa depan rendah karbon dan ekonomi lebih hijau, MIDA mengambil langkah untuk membantu perniagaan mengatasi cabaran dan merebut peluang dalam peralihan hijau.

“Kami memuji inisiatif RE100 oleh TTM yang menggariskan komitmen teguh syarikat kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam kerangka korporatnya,” katanya dalam kenyataan bersama oleh MIDA dan Solarvest hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata syarikat itu yakin dengan kemampuannya untuk membantu TTM mencapai kecekapan tenaga yang optimum bagi loji itu di samping memastikan projek disiapkan tepat pada masanya.

“Terdapat minat yang semakin bertambah dalam penerimagunaan tenaga bersih terutamanya dalam kalangan penggiat komersial dan perindustrian (C&I) berikutan inisiatif kemampanan korporat menerima momentum dan menjangkakan mekanisme penetapan harga karbon.

“Saluran kerja kami kekal teguh dengan nilai tender kira-kira 2.2 gigawatt yang terdiri daripada loji jana kuasa berskala besar, C&I dan projek luar negara,” katanya.

Beliau berkata sebagai rakan kongsi penyahkarbonan, Solarvest komited untuk menggalakkan peralihan tenaga menerusi penyelesaian tenaga boleh baharu yang cekap dan teknologi hijau inovatif.

RE100 adalah inisiatif tenaga boleh baharu korporat global yang menghimpunkan ratusan perniagaan besar yang komited kepada 100 peratus tenaga elektrik boleh baharu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan