KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- KNM Europa BV, anak syarikat KNM Group Bhd (KNM) merancang untuk melupuskan 100 peratus kepentingan ekuitinya dalam FBM Hudson Italiana SpA (FBMHI) kepada Petro MAT FZCO yang berpangkalan di Dubai pada harga 22 juta euro (1 euro=RM5.00).
FBMHI, yang membuat peralatan tekanan tinggi dan penukar haba, memiliki kemudahan pembuatan di Zon Bebas Jebel Ali di Dubai melalui anak syarikat milik penuhnya.
KNM, sebuah syarikat Nota Amalan 17 (PN 17), berkata ia telah memutuskan untuk keluar dari segmen yang tidak menguntungkan memandangkan operasi KNM Europa BV terus mencatat kerugian dan ketidaktentuan dalam prospek perniagaannya.
“Hasil yang dijangka diterima daripada cadangan pelupusan FBMHI, walaupun secara berperingkat, boleh disalurkan semula kepada perniagaan lain yang berdaya maju dan untuk keperluan modal kerja dalam kumpulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
KNM juga berkata kerugian yang dijangka timbul daripada cadangan pelupusan itu ialah kira-kira RM95 juta.
Cadangan pelupusan itu adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan kelak.
“Tertakluk kepada semua kelulusan yang berkaitan dan pemenuhan semua syarat yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli bersyarat, lembaga pengarah menjangkakan cadangan pelupusan itu akan diselesaikan pada 31 Okt, 2023, atau pada tarikh lain yang dipersetujui bersama oleh penjual dan pembeli,” kata KNM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial