KOTA BHARU, 10 Sept (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dengan kerjasama pengedar mesin ultrabunyi dari China, Mindray mewujudkan pusat pembelajaran berkaitan sonografi bagi mengoptimumkan kepakaran pelajarnya dalam bidang berkenaan.
Pengarah Kampus Kesihatan USM Prof Dr Shaharum Shamsuddin berkata projek yang dikenali sebagai USM-Mindray Sonoschool itu dibangunkan berdasarkan memorandum perjanjian yang dimeterai pada 2021.
"Melalui kerjasama ini, USM menerima sumbangan empat mesin ultrabunyi selain baik pulih sebuah bilik di bangunan unit kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan keseluruhan kos berjumlah RM1 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh Mindray dan akan memulakan kelas pembelajaran hari ini.
"Projek ini dibangunkan bagi memberi latihan dan pembelajaran kepada pelajar program doktor perubatan, sarjana perubatan dan subkepakaran mendalami bidang ultrabunyi secara lebih efisien berbanding pembelajaran di lapangan atau unit kecemasan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian USM-Mindray Sonoschool di USM Kubang Kerian, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Pemasaran Mindray Kurt Xie.
Pada majlis tersebut, Dr Shaharum turut melancarkan buku 'Point of Care Ultrasound' (POCUS) pertama terbitan USM yang memuatkan panduan komprehensif penggunaan mesin ultrabunyi bagi menghasilkan rawatan lebih tepat.
Dalam pada itu, beliau berkata bermula tahun ini USM mengorak langkah dengan memperkenalkan POCUS sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran untuk doktor perubatan tahun empat.
Menurutnya POCUS telah didedahkan kepada pelajar program doktor perubatan sejak 2017 terutama berkaitan penilaian berfokus sonografi dan trauma, selain melatih hampir 300 pelajar sarjana perubatan kecemasan yang berkemahiran tinggi.
Beliau memaklumkan POCUS USM juga telah menyumbang secara aktif menjalankan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam ‘World Intractive Network Focused On Critical Ultrasound’ (WINFOCUS) yang merupakan komuniti POCUS terbesar di dunia.
"Kewujudan USM-Mindray Sonoschool ini diharap dapat membantu Pusat Pengajian Sains Perubatan USM menghasilkan graduan yang kompetetif dan berkualiti," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial