EKONOMI

Bahagian Awam Ipo Emcc Terlebih Langgan 53.06 Kali

15/09/2023 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Tawaran awam pemulaan (IPO) Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE untuk bahagian awam terlebih langgan sebanyak 53.06 kali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan Datuk Low Kok Chuan berkata IPO yang terlebih langgan itu menunjukkan pasaran yang positif terhadap asas dan prospek industri kumpulan itu yang menarik.

“Dengan hasil yang akan diperoleh, kami bersedia untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan kami dan mengembangkan lagi operasi kami dalam industri pajak gadai.

“Sebahagian besar daripada hasil IPO kami akan digunakan sebagai modal tunai untuk perniagaan pajak gadai kami dan untuk membuka pajak gadai ‘Pajaking’ baharu. Ini akan membolehkan kami memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar serta meningkatkan kejelasan jenama kami,” kata Low.

EMCC menerima 14,568 permohonan untuk 3.01 bilion saham dengan nilai RM722.66 juta bagi 55.70 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 53.06 kali.

Bagi bahagian awam Bumiputera, 4,596 permohonan untuk 656.83 juta saham telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 22.58 kali.

Sementara itu, bagi bahagian awam bukan Bumiputera, sebanyak 9,972 permohonan untuk 2.35 bilion saham diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 83.53 kali.

Sebanyak 27,900,000 saham baharu yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan EMCC telah dilanggan sepenuhnya.

Sementara itu, 44,600,000 saham baharu dan 43,000,000 saham sedia ada yang disediakan melalui penempatan kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.

Selain itu, 139,400,000 saham baharu yang disediakan melalui penempatan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian turut dilanggan sepenuhnya.

Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 22 Sept 2023.

Bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Sept 2023, EMCC akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM267.6 juta berdasarkan harga IPO RM0.24 sesaham dan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 1.11 bilion saham selepas penyenaraian.

Mercury Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan