AM

YAYASAN SARAWAK DAN PETRONAS BEKERJASAMA TAJA PELAJAR SARAWAK

21/09/2023 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Mulai tahun depan, kira-kira 80 pelajar dari Sarawak yang melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Semenanjung Malaysia, berpeluang menerima penajaan penuh pengajian di bawah Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak.

Program hasil kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Yayasan Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 2029 itu, akan membolehkan 40 orang daripada mereka dibiayai oleh Petronas, manakala bakinya oleh Yayasan Sarawak.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Malaysia LNG Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi berkata usaha kerjasama itu, bertujuan memupuk potensi pelajar dalam aktiviti berkaitan Sains dan Matematik, di samping menyemai minat mereka dalam bidang teknikal serta kejuruteraan.

“Dengan adanya program penajaan ini, kita berharap ia akan dapat membantu pelajar menampung kos-kos persekolahan, seperti yuran tahunan, pakaian seragam, penglibatan aktiviti kokurikulum dan sebagainya.

“Sekali gus, ini dapat memberi semangat kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh, bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam,” katanya pada majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Petronas dan Yayasan Sarawak hari ini.

Pertukaran dokumen MoU yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu disempurnakan Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli yang mewakili Yayasan Sarawak dan Mohamed Syazwan bagi pihak Petronas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan