EKONOMI

Indeks Pelopor Catat 109.0 Mata Pada Julai 2023 -- Jabatan Perangkaan

25/09/2023 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) Julai 2023 menjangkakan prestasi ekonomi yang menyederhana selepas mencatatkan 109.0 mata, turun 0.9 peratus tahun ke tahun daripada 109.5 mata pada Julai 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ia berkata ini adalah peningkatan berbanding penurunan 2.1 peratus untuk Jun 2023 pada 109.8 mata berbanding 112.1 mata pada Jun 2022.

Indeks Pelopor merupakan alat yang digunakan untuk meramalkan pergerakan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ini dipacu oleh pertambahan ketara dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (200.8 peratus). 

Namun begitu, penurunan yang berterusan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-24.3 peratus) dan import benar semikKonduktor (-17.4 peratus) mempengaruhi pertumbuhan keseluruhan.

“Melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.7 peratus pada bulan rujukan berbanding negatif 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.

“Penurunan ini disebabkan oleh penyusutan dalam semua komponen kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1 peratus) dan Jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan (0.1 peratus)”, kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan hari ini.

 Dari segi keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan 123.5 mata pada Julai 2023, meningkat 2.2 peratus berbanding 120.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya

“Kecenderungan ini disumbangkan oleh semua komponen IS terutamanya nilai caruman sebenar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (15.5 peratus),” kata Jabatan Perangkaan.

Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS turut meningkat 0.2 peratus berbanding negatif 0.9 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.3 peratus). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan