AM

Lebih 60 Peratus Kurikulum Politeknik, Kolej Komuniti Fokus Bidang Tvet

26/09/2023 03:49 PM

TANJUNG MALIM, 26 Sept (Bernama) -- Lebih 60 peratus kurikulum pembelajaran dan pengajaran di politeknik serta kolej komuniti seluruh negara akan memfokuskan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zainab Othman berkata ia bagi memenuhi keperluan lebih 100,000 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan dalam bidang TVET untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata penetapan peratusan itu juga sebahagian daripada usaha menarik pelajar untuk terlibat secara langsung dalam bidang TVET kerana buat masa ini bidang berkenaan merupakan komponen yang menyumbang kepada kebolehpasaran tenaga kerja di Malaysia.

“Usaha lain termasuk menjalin kolaborasi antara politeknik dan kolej komuniti dengan pemain industri bagi memastikan pemerkasaan bidang TVET,” katanya selepas merasmikan Ekspo Kerjaya Industri Politeknik (ExKIP) ke-11 di Politeknik Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Beliau berkata jalinan strategik yang dirancang itu mampu memberi nilai tambah, meningkatkan potensi diri serta merangsang pelajar untuk terus berdaya saing. 

 Mengenai program ExKIP pula, Zainab berkata ia merupakan platform yang disediakan bagi memberi ruang dan peluang kepada graduan politeknik mendapatkan pekerjaan khususnya dalam bidang TVET.

Menurutnya penganjuran program itu juga bagi memenuhi hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) melalui kerjasama dengan industri terlibat dalam mengharungi perjalanan menerajui TVET negara.

“Saya percaya menerusi komitmen (ExKIP) seperti ini ditambah pula dengan nilai pembelajaran berterusan, politeknik akan terus mengorak langkah dan berjaya menempuhi cabaran semasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan