EKONOMI

PMKS PERLU TERAP AMALAN ESG, TINGKAT PELUANG DI PASARAN GLOBAL - EWON

26/09/2023 04:07 PM

GEORGE TOWN, 26 Sept (Bernama) -- Kalangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu melengkapkan operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian bagi meningkatkan lagi peluang di pasaran dunia yang kian menitikberatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata ini penting memandangkan semakin banyak syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) bertindak menjadikan ESG sebagai kriteria atau penilaian risiko dalam membuat keputusan.

Sejajar dengan usaha itu juga, kerajaan akan menyediakan satu garis panduan pelaporan ESG bagi memudahkan PMKS mengenal pasti kriteria asas dalam usaha penerapan nilai-nilai berkenaan.

“Pada November (ini), Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan akan bermesyuarat dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau akan melihat pembentangan garis panduan itu sebelum diumumkan dan seterusnya dilancarkan.

“Kementerian juga telah mengemukakan (permintaan) kepada Kementerian Kewangan agar sejumlah peruntukan disediakan di bawah Belanjawan 2024 untuk kita jayakan amalan ESG dalam kalangan PMKS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar ‘Melakar Laluan ESG untuk PMKS & Pemadanan Perniagaan bagi Industri dengan Pertumbuhan Tinggi di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ewon berkata selain menampung peningkatan permintaan terhadap elemen ESG daripada pihak berkepentingan, PMKS juga perlu mendapatkan akses pasaran secara berterusan dan kekal dalam rantaian bekalan sedia ada, meluaskan pasaran menerusi penyertaan dalam rantaian bekalan baharu atau menarik pelaburan baharu untuk pengembangan perniagaan.

Mengulas seminar selama dua hari bermula hari ini, Ewon berkata inisiatif anjuran SME Corp Malaysia (SME Corp) itu turut melibatkan 380 sesi pemadanan perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata sebanyak 60 syarikat PMKS serta kira-kira 20 perusahaan besar merangkumi GLC dan MNC, akan menyertai sesi yang dijangka menjana transaksi berjumlah RM10 juta.

“Syarikat-syarikat ini terlibat dalam industri dengan pertumbuhan tinggi seperti peralatan perubatan, elektronik, aeroangkasa dan bioteknologi,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, Ewon menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta antara SME Corp dan Alliance Bank Malaysia.

MoU dengan SC bertujuan membuka ruang kerjasama bagi memudahkan akses pembiayaan pasaran modal PMKS manakala kerjasama dengan Alliance Bank bertujuan meningkatkan kesedaran, pembangunan kapasiti dan membantu PMKS mempercepat penerapan amalan ESG dalam perniagaan mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan