AM

Klinik Bergerak Pertama Kpj Healthcare Dilancarkan Di Kota Kinabalu

27/09/2023 04:25 PM

KOTA KINABALU, 27 Sept (Bernama) -- Klinik bergerak pertama KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) telah dilancarkan di sini Isnin lepas, bertujuan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada semua rakyat di negeri ini termasuk golongan kurang berkemampuan.

KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan inisiatif klinik bergerak itu dilaksanakan menerusi Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) hasil kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengerusi KWAN Norhaizam Mohammad dalam kenyataan sama berkata perkhidmatan klinik bergerak itu meliputi penjagaan kesihatan pencegahan, rawatan untuk pesakit asas dan rujukan kepada pakar apabila perlu, selain mampu memberi manfaat kepada ribuan pesakit.

“Klinik bergerak itu dikendalikan oleh seorang pegawai kesihatan, dua jururawat, seorang pembantu klinik dan seorang pemandu. Pesakit boleh menerima rawatan di klinik bergerak ini dengan bayaran serendah RM10 bagi setiap lawatan.

“Klinik ini juga menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada komuniti kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan terpencil dan luar bandar di Sabah, dengan perkhidmatan termasuk penjagaan kesihatan pencegahan, rawatan untuk penyakit asas dan rujukan kepada pakar apabila perlu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin berkata klinik bergerak tersbeut membolehkan pihaknya mendekati masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata tumpuan MUIS terhadap bantuan kesihatan menerusi klinik bergerak itu juga menyasarkan golongan asnaf.

Menurut kenyataan itu juga, bagi tempoh 1998 hingga Ogos lepas, hampir dua juta pesakit telah diberi rawatan di klinik statik KWAN di seluruh negara dan 32,014 pesakit dirawat di klinik bergerak KWAN dari 2015 hingga Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan