EKONOMI

ANGKASA, LHDN METERAI MOU PERGIAT KESEDARAN CUKAI KOPERASI

29/09/2023 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam usaha meningkatkan kesedaran serta pendaftaran cukai koperasi di Malaysia.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata kerjasama itu bukti komitmen ANGKASA dan LHDN mempromosi pematuhan cukai dalam kalangan koperasi di seluruh negara serta memastikan koperasi memahami dan mematuhi peraturan cukai sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sehingga kini, 4,463 atau 30 peratus koperasi di seluruh negara berdaftar dengan LHDN. Sebanyak 1,001 koperasi daripada jumlah tersebut merupakan pembayar cukai secara aktif.

“Jumlah berkenaan boleh dipertingkatkan menerusi program bimbingan penyediaan cukai koperasi yang dilaksanakan oleh ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menaungi 15,315 koperasi berdaftar di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan pendaftaran pengakuan sukarela yang dilaksanakan oleh LHDN, ANGKASA menyasarkan peratusan pendaftaran koperasi sebagai pembayar cukai kepada lebih 50 peratus dan seterusnya mencapai 80 peratus dalam tempoh tiga tahun bermula 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi berkata kerjasama strategik dengan ANGKASA merupakan inisiatif pihaknya dalam merakyatkan percukaian selaras dengan pendekatan kesedaran (awareness), pendidikan (education) dan perkhidmatan (services) (AES) yang giat dilaksanakan LHDN pada masa kini.

“Melalui AES, LHDN berusaha untuk membina budaya pematuhan cukai sukarela yang kukuh kepada pembayar cukai khususnya dan orang awam umumnya.

“Pada 2022, sebanyak RM163.02 juta cukai disumbangkan oleh pembayar cukai kategori koperasi dengan peningkatan hampir 178 peratus berbanding kutipan pada 2020,” katanya.

Mohd Nizom berkata LHDN yakin dengan kepakaran dimiliki ANGKASA dapat membantu meningkatkan bilangan pembayar cukai koperasi yang berdaftar, cakna dan konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian secara sukarela kepada negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan