POLITIK

AUTONOMI PH SABAH HARUS DIKEKALKAN - UPKO

29/09/2023 09:40 PM

KOTA KINABALU, 29 Sept (Bernama) -- Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang bermesyuarat hari ini berpendirian autonomi Pakatan Harapan (PH) Sabah harus dikekalkan bagi membolehkan gabungan itu membuat sebarang keputusan demi kepentingan parti dan rakyat negeri ini.

Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata autonomi itu penting bagi membolehkan keputusan dibuat antaranya berkaitan pengagihan kerusi serta calon pilihan raya di Sabah dan barisan kepimpinan PH negeri itu ditentukan melalui perbincangan parti komponen gabungan di negeri itu.

“Kita tidak mahu sebarang keputusan dibuat tanpa berunding dengan semua parti (komponen) PH di sini (iaitu) UPKO, PKR Sabah, DAP Sabah dan Amanah Sabah. Semua parti juga harus berbincang jika ada perubahan kepimpinan PH Sabah.

“Dua tahun ini juga pilihan raya negeri Sabah (bakal diadakan), jadi persiapan dan segalanya yang terkait itu autonominya harus diberikan serta dikekalkan kepada PH Sabah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat itu juga mengesahkan bahawa parti itu mempunyai seramai 160,041 orang ahli berdaftar di seluruh negara setakat Ogos lepas di 25 bahagian termasuk empat bahagian di Perak.

“Mesyuarat juga memperakukan penganjuran Konvensyen UPKO Peringkat Zon bermula pada 15 Okt ini bagi bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar. Kita juga membenarkan ahli parti membahaskan perkara-perkara menjadi keprihatinan bahagian yang menganjurkan konvensyen tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan