KULIM, 2 Okt (Bernama) -- Aplikasi Kulim Smart Parking (KSP) yang menggunakan kaedah sensor parkir dilihat dapat mengubah landskap pengurusan, atur cara operasi dan pemantauan tempat letak kereta di daerah ini selain memudahkan pemandu mencari ruang parkir.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) Dr Nadzman Mustaffa berkata aplikasi itu merupakan satu visi inovatif masa hadapan dan komitmen MPKK dalam usaha menyediakan sistem parkir yang lebih baik serta memudahkan semua pihak.
"Aplikasi ini dibangunkan secara usahasama awam-swasta antara MPKK dan syarikat HeiTech Padu Berhad (HeiTech) yang mula dilaksanakan sejak tahun lepas dengan menyediakan 7,000 petak parkir berpengesan.
"Aplikasi ini mesra pengguna kerana menyediakan data kepada pemandu mengenai tempat parkir kosong yang tersedia, panduan arah serta membuat pembayaran secara dalam talian," katanya pada sidang media selepas melancarkan Aplikasi KSP 3.0 di Kulim Landmark Central di sini hari ini.
Nadzman berkata sejak pelaksanaan sensor parkir pintar itu tahun lepas, sistem parkir berkupon telah dihentikan penggunaannya bermula awal tahun ini.
"Kita akan menyediakan perkhidmatan menerusi pasukan bergerak yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, memberi penerangan dan membantu pengguna memahami cara penggunaan aplikasi ini," katanya.
Nadzman berharap masyarakat dapat menerima pelaksanaan sistem itu demi kebaikan bersama memandangkan zaman sudah berubah menuju ke arah hampir semua perkara dilaksanakan secara dalam talian.
"Setakat ini, dalam tempoh setahun, sebanyak 70,000 pengguna sudah memuat naik aplikasi ini dengan 60 peratus daripadanya aktif menggunakan aplikasi sensor pintar ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial