BENTONG, 2 Okt (Bernama) -- Segala bentuk bantuan kepada golongan miskin tegar akan diselaras dengan baik supaya tidak berlaku pertindihan penerima, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu akan melibatkan beberapa institusi dan program bantuan, antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), institusi zakat di seluruh negara dan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Saya nak pastikan AIM, institusi Zakat dan IPR ini diselaraskan supaya kita tahu berapa jumlah sebenarnya (yang diberi kepada penerima) dan agar orang perolehi bantuan tidak bertindih," katanya ketika berucap pada majlis Kenduri Rakyat sempena ulang tahun ke-36 AIM di Kampung Agropolitan Chemomoi di sini malam ini.
Anwar berkata kerajaan perlu mengurus dana negara dengan cekap dan bertanggungjawab supaya setiap peruntukan yang dibelanjakan mencapai maksud bagi pembelaan nasib rakyat miskin.
Perdana Menteri berkata miskin tegar juga hanya boleh dinoktahkan sekiranya negara dan kerajaan mempunyai dasar yang jelas bagi meningkatkan keuntungan negara, yang kemudian boleh dipindah bagi membantu rakyat miskin.
"Sebelum akhir Dis 2023, kita mesti bantu selamatkan semua rakyat yang tergolong di bawah miskin tegar...kita kena urus (dana) dengan cekap, jangan membazir urus dengan bertanggungjawab supaya setiap sen dibelanjakan untuk mencapai maksud pembelaan nasib rakyat miskin," katanya.
Anwar seterusnya melahirkan rasa bangga dengan peranan dimainkan AIM dalam membawa ramai rakyat Malaysia keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Tentunya AIM menjadi salah satu daripada langkah dan ikhtiar untuk kita menyelesaikan masalah (miskin tegar) ini. Saya bangga dengan AIM terutamanya dalam peringkat terakhir ini, pengurusannya diperbaiki dan kelemahananya dikenal pasti," katanya.
Justeru, Anwar berkata Belanjawan 2024 pada 13 Okt ini bakal mengambil kira keperluan AIM bagi meneruskan pelaksanaan program membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah.
Penubuhan AIM antaranya bertujuan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah di negara ini dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro untuk membiayai kegiatan yang boleh menambah dan meningkatkan pendapatan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial