JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Mayat seorang lelaki berperwatakan wanita ditemukan di terowong pejalan kaki di Jalan Perkasa, Taman Tampoi Utama, dekat sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu, kira-kira 7 pagi.
"Pihak polis menemui mayat tersebut lengkap berpakaian wanita, dengan kesan kecederaan di kepala dan muka.
"Hasil siasatan, polis mendapati kesan kecederaan (itu) akibat terjatuh dari tebing tinggi ke laluan terowong berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Beliau berkata lelaki berusia 30-an itu kali terakhir dilihat di sebuah kelab malam di bandar raya itu pada malam sebelum kejadian dan pihaknya masih menunggu laporan kimia untuk menentukan sama ada mangsa mabuk ketika itu.
"Kita telah menghubungi waris lelaki berkenaan untuk proses pengecaman," katanya.
Kamarul Zaman berkata alamat terakhir lelaki itu ialah di Perak dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial