PETALING JAYA, 12 Okt (Bernama) -- Ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang 24.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 dan meningkat kepada 25.5 peratus tahun depan, kata Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom).
Timbalan Pengerusi Alex Liew berkata momentum itu akan kekal kukuh dalam persekitaran ekonomi negara yang diramalkan berkembang 4.5 peratus pada 2024.
“Peningkatan ekonomi digital yang rancak, walaupun di tengah-tengah ekonomi global yang tidak menentu, telah mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak penting struktur ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang media mengenai Pasaran Kerja Digital Malaysia dan Tinjauan Ekonomi 2023/2024 di sini hari ini.
Dari segi pekerjaan, beliau berkata pasaran kerja digital telah menyaksikan pertumbuhan dua angka gaji pekerjaan berkaitan teknologi, mencerminkan ekonomi yang memanfaatkan teknologi dengan bijak untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
Penasihat dan pengerusi penyelidikan Pikom Woon Tai Hai berkata sektor teknologi mengalami pertumbuhan gaji tahun ke tahun yang ketara sebanyak 13.9 peratus pada 2023, berbeza dengan pertumbuhan julat dua peratus peratus dalam dua tahun sebelumnya.
"Pikom mengunjurkan pertumbuhan gaji sebanyak 4.13 peratus bagi 2024 dalam sektor itu, dan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.45 peratus sepanjang dekad akan datang," katanya.
Woon mengaitkan pertumbuhan itu dengan persaingan yang semakin sengit untuk mendapatkan tenaga kerja yang berbakat, penghantaran pulang profesional mahir selepas pandemik, ringgit yang semakin lemah, transformasi digital yang dipercepatkan dalam sektor swasta dan dasar kerajaan yang berpandangan jauh ke hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ong Kian Yew berkata penanda aras gaji bagi sektor teknologi adalah penting kerana ia mencerminkan kedudukan daya saing Malaysia dalam landskap teknologi global dan serantau, sekali gus memupuk inovasi dan penggubalan dasar.
Persatuan itu mempunyai 1,000 keahlian syarikat yang terlibat dalam produk dan perkhidmatan teknologi yang menguasai 80 peratus daripada jumlah perniagaan teknologi Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial