AM

Risda Peruntukan Rm41 Juta Bagi Program Pembangunan Di Pahang

12/10/2023 05:10 PM

TEMERLOH, 12 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM41 juta bagi program pembangunan di Pahang pada tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Pembangunannya Ahmad Zainal Abdullah. 

Beliau berkata sebanyak RM20 juta daripada jumlah itu diperuntukan untuk program tanam semula getah dan skim getah matang, manakala bakinya antara lain bagi melaksanakan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), agromakanan dan pembangunan usahawan serta prasarana. 

"Justeru, saya menyarankan mereka yang berminat agar mengambil peluang ini untuk memohon bantuan yang disediakan dengan segera kerana tahun ini akan berakhir tidak lama lagi...kalau tidak mereka terpaksa tunggu tahun depan pula untuk memohon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Yang Baik (GAP) Peringkat Pahang 2023 yang dihadiri 800 pekebun kecil di sini hari ini. 

Ahmad Zainal berkata individu yang mempunyai tanah berkeluasan bermula 0.1 hektar layak memohon bantuan tanam semula getah dengan nilai lebih RM13,000 bagi sehektar, yang akan meliputi bantuan input pertanian, angkutan, prasarana dan khidmat nasihat. 

Selain itu, RISDA menyediakan pakej bantuan meningkatkan pendapatan bermula daripada RM3,000 hingga RM500,000 untuk program AET, pengembangan perniagaan, pemasaran dan pembangunan usahawan, manakala program agromakanan melibatkan bantuan antara RM20,000 dan RM300,000. 

Sementara itu, beliau memaklumkan kira-kira 500,000 hektar ladang getah di seluruh negara masih tidak diusahakan untuk pengeluaran hasil, dengan Pahang melibatkan kawasan seluas 24,000 hektar. 

"RISDA melaksanakan kempen secara agresif pada tahun ini untuk meningkatkan produktiviti getah dengan menyasarkan lebih 200,000 hektar kawasan getah akan diusahakan pada tahun depan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan