BATU KAWAN, 13 Okt (Bernama) -- Micron Technology Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) melancarkan kilang pemasangan dan ujian canggihnya di Taman Perindustrian Batu Kawan hari ini.
Kilang ini merupakan kemudahan pembuatan kedua yang dibuka oleh Micron di Pulau Pinang selepas kemudahan pertamanya di kawasan Perindustrian Perai pada 2015, yang memulakan operasinya tahun ini.
Naib presiden kanan Pemasangan dan Operasi Ujian Global Micron Technology, Gursharan Singh berkata kemudahan baharu iu membolehkan syarikat tersebyt menyediakan produk berkualiti kepada pelanggannya tepat pada masa secara besar-besaran dan dengan masa kitaran yang dikurangkan.
“Peluasan ini membolehkan Micron Malaysia meningkatkan pengeluaran dan mengukuhkan lagi keupayaan pemasangan dan ujiannya untuk membekalkan modul NAND, PCDRAM dan SSD canggihnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk teknologi transformatif seperti kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan autonomi atau elektrik.
“Ia mencerminkan dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi untuk memajukan pembangunan semikonduktor dan kecemerlangan pembuatan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian kilang tersebut di sini yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Turut hadir ialah naib presiden korporat pemasangan dan ujian Operasi NAND bagi Micron Technology, Amarjit Sandhu.
Gursharan berkata kilang pengeluaran di Batu Kawan itu mengguna pakai aplikasi pembuatan pintar untuk mengoptimumkan kecekapan, hasil dan kualiti pengeluaran bagi memastikan Micron terus dapat menyediakan produk bertaraf dunia dengan cekap dan berkualiti.
Beliau berkata Micron memberikan tumpuan berterusan terhadap kemampanan, seperti yang dapat dilihat menerusi reka bentuk kemudahan itu yang mematuhi sistem penarafan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), pensijilan bangunan hijau yang paling banyak digunakan di dunia.
Chow mengucapkan tahniah kepada syarikat gergasi semikonduktor itu atas kejayaannya membuka dua kilang pembuatan di negeri ini dengan pelaburan bernilai US$2 bilion (US$1=RM4.73) dan berpotensi menawarkan 4,500 peluang pekerjaan.
“Ini adalah contoh penting tentang apa yang kita (Pulau Pinang) bincangkan (iaitu) kita mahu melabur dalam pelaburan berkualiti tinggi yang boleh mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Disebabkan ini (pelaburan oleh Micron) kami boleh memupuk keyakinan bahawa Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya adalah destinasi pelaburan yang sangat menarik, khususnya untuk sektor elektrik dan elektronik (E&E),” tambahnya.
Chow berkata kerajaan negeri berharap dapat melihat pengembangan lagi Micron Technology pada masa hadapan di Pulau Pinang
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial