EKONOMI

Prospek Perbankan Islam Kekal Memberangsangkan Pada 2024 Disokong Ekosistem Matang

13/10/2023 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Prospek perbankan Islam kekal memberangsangkan pada tahun 2024 disokong oleh ekosistem yang matang bagi menggalakkan keterangkuman kewangan dan sosial.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, perbankan dan pasaran modal Islam berkembang pesat sejajar pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan.

 “Perbankan Islam terus menyokong keperluan sosial dan ekonomi sejajar dengan prinsip. kewangan berasaskan nilai menerusi penyelesaian patuh Shariah yang pelbagai dan inovatif.

“Pada akhir Julai 2023, jumlah aset bank Islam telah berkembang sebanyak 8.1 peratus kepada RM1,293.2 bilion iaitu 36.4 peratus daripada bahagian pasaran.

“Sementara itu, jumlah pembiayaan Islam terkumpul meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada RM844.1 bilion pada akhir Julai dengan kadar pertumbuhan melebihi trend pertumbuhan pinjaman konvensional,” kata laporan itu.

Menurutnya permintaan pembiayaan isi rumah juga kekal kukuh dan merangkumi sebahagian besar daripada jumlah pembiayaan raitu 63.1 peratus terutamanya bagi harta tanah kediaman dan kereta penumpang.

Ekosistem perbankan Islam ini merangkumi peraturan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), produk dan perkhidmatan yang pelbagai serta inovatif, peserta industri yang berdaya tahan, strategi pendigitalan yang progresif, serta asas pembiayaan yang kukuh menerusi pengantaraan berasaskan nilai (VBI), katanya.

Selain itu, laporan itu berkata komitmen padu Malaysia dalam agenda kewangan sosial ini diterjemahkan menerusi penyediaan kohort ketiga kepada Panduan Sektoral bagi Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBIAF).

Panduan Sektoral ini akan dimuktamad dan diterbitkan pada suku keempat 2023 yang mana akan menggabungkan pertimbangan risiko berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semasa membuat keputusan pembiayaan dan pelaburan.

Gabungan VBI dan kewangan sosial akan terus meletakkan negara sebagai peneraju dalam mencapai matlamat kemampanan melalui pembiayaan patuh Syariah yang mengimbangi antara keperluan sosial dan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi, katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan