SUKAN

Skuasy Disenaraikan Di Sukan Olimpik Los Angeles 2028

13/10/2023 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Setelah berdekad mencuba dan menunggu, akhirnya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan skuasy disenaraikan dalam program Sukan Olimpik edisi Los Angeles 2028 (LA28).

Skuasy, besbol/sofbol, kriket dan dua sukan tradisi Amerika Syarikat (AS) iaitu flag football dan lacrosse adalah lima sukan baharu yang diluluskan oleh Lembaga Eksekutif menjelang sesi IOC di Mumbai, India, selepas meneliti cadangan daripada Jawatankuasa Pengelola LA28.

Presiden IOC Thomas Bach berkata, kemasukan lima sukan itu akan membolehkan Pergerakan Olimpik melibatkan diri dengan atlet baharu serta komuniti peminat di AS dan peringkat global.

“Pemilihan lima sukan ini selaras dengan budaya sukan Amerika dan mempamerkan sukan ikonik Amerika kepada dunia, sambil membawa sukan antarabangsa ke AS. Sukan ini akan menjadikan Olimpik LA 2028 lebih unik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut IOC, program acara dan kuota atlet bertanding akan dimuktamadkan selepas Olimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

Skuasy dan flag football akan dipertandingkan buat julung kalinya manakala besbol/sofbol, kriket dan lacrosse pula dipertandingkan semula dalam temasya terbesar dunia itu.

“Skuasy sudah disenaraikan dalam lapan temasya sukan lain, dengan wakil dari empat benua berada dalam 10 ranking teratas dunia. Skuasy menunjukkan perkembangan menakjubkan sejak kebelakangan ini, terutama dalam kalangan anak muda, dengan peningkatan 87 peratus dalam penyertaan skuasy antara 2015 dan 2019 di AS,” menurut IOC.

Kriket dengan lebih 2.5 bilion peminat seluruh dunia, hanya dipertandingkan di Olimpik Paris 1900, dan IOC yakin penyertaan dalam temasya LA28 membawa peluang besar untuk melibatkan diri dengan negara dan komuniti baharu.

Lembaga Eksekutif IOC turut menyokong pentatlon moden dan angkat berat untuk dipertandingkan di LA28, dengan syarat disiplin berkuda digantikan dengan perlumbaan berhalangan dalam pentatlon moden manakala Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) meneruskan usaha anti-doping dengan berkesan.

Bagaimanapun, keputusan mengenai tinju masih ditangguhkan kerana IOC belum mengiktiraf persekutuan antarabangsa alternatif selepas menarik balik pengiktirafan terhadap Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA).

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China baru-baru ini, pasukan skuasy Malaysia membawa pulang tiga pingat emas serta masing-masing satu perak dan gangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan