AM

Tudm Sahkan Pesawat Beechcraft B 200t Lakukan Pendaratan Cemas, Empat Anak Kapal Terselamat

16/10/2023 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sebuah pesawat Beechcraft B 200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini, 1 petang tadi.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM yang mengesahkan kejadian berkenaan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa semua empat anak kapal pesawat itu selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya kejadian berlaku semasa pesawat dari 16 Skuadron yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 11.27 pagi, sedang melaksanakan latihan penerbangan.

"TUDM akan menubuhkan pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Norazman Mahmud dalam kenyataan berkata juruterbang pesawat berkenaan telah memaklumkan Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang mengenai masalah gear pendaratan dan meminta bantuan untuk mendarat.

"Menara ATC kemudian memaklumkan kepada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang Subang bagi mengaktifkan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang dan menyediakan bantuan kecemasan kepada pesawat semasa mendarat," katanya.

Beliau berkata pesawat berkenaan dalam proses dialihkan dan landasan lapangan terbang dijangka dibuka semula untuk beroperasi pada 5 petang.

Menurutnya siasatan dilaksanakan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan