Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menunaikan janji bagi bantuan e-wallet RM100 kepada penerima yang layak pada Disember ini, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.
"Bantuan e-wallet RM100 ini akan diagihkan pada bulan Disember nanti. Jadi (rakyat) akan dapat (bantuan ini). Rakyat diminta bersabar kerana kerajaan akan tunaikan janji," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sim berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi impak kepada isi rumah penerima tetapi juga pasaran tempatan terutamanya kepada peniaga kecil dan penjaja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa bantuan e-wallet RM100 akan dikreditkan kepada semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas ketika Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas.
Bantuan e-wallet RM100 merupakan inisiatif terbaharu yang diumumkan kerajaan bagi golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM100,000 ke bawah.
Sementera itu, Sim ketika ditemuramah dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV berkata Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 akan memanfaatkan 700,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau berkata penerima yang layak akan menerima sumbangan berjumlah RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.
"Sebagai contoh, harga ayam dan daging diapungkan, maksudnya semua kena beli pada harga pasaran tetapi untuk orang yang memerlukan, kerajaan ada banyak inisiatif, antaranya STR dimana ia meningkat dari RM8 bilion kepada RM10 bilion dan juga program SARA.
"Kerajaan beri RM100 selama setahun kepada keluarga di bawah STR setiap bulan, selain STR, bantuan wang tunai secara langsung turut diberikan, ia terus kepada golongan sasaran. Justeru, mereka boleh menggunakan duit itu untuk membeli barang keperluan. This is what we called direct cash transfer," katanya.
Menjawab soalan mengenai kebimbingan wang sumbangan itu tidak digunakan untuk keperluan, Sim berkata kerajaan perlu ada keyakinan terhadap mereka yang kurang mampu.
"Jangan sangka orang kurang mampu akan beli rokok dan saya tidak kata ia tidak berlaku tetapi kena ada fleksibiliti. Kadang-kala kalau kita (kerajaan) tetapkan peraturan yang ketat, ia menyukarkan penerima kerana ada antara mereka mempunyai keperluan dan kepentingan lain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial