AM

Melaka Mohon Geran Rm2 Juta Perluas Projek Ternakan Udang

19/10/2023 04:07 PM

JASIN, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka (MBC) memohon kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan agensi itu untuk mendapatkan geran RM2 juta bertujuan memperluas projek kolam ternakan udang di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sempang di sini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata ia bagi membolehkan penambahan kolam dan ternakan udang putih di kawasan seluas 2.4 hektar sekali gus menjamin sekuriti makanan negara terutama di Melaka.

"Projek akuakultur ini diusahakan sejak 14 tahun lepas bermula dengan ternakan ikan kerapu dan kerang. Pada 2014 ia mula mengusahakan 10 kolam udang putih dan tujuh kolam udang harimau hingga kini.

"Kita telah mengemukakan permohonan geran tersebut kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi rancangan memperluas projek ternakan di kawasan ZIA ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke kolam ternakan udang di ZIA Sempang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Tee Mei Ghee dan Pengarah Jabatan Penerangan Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Fairul Nizam berkata setakat September lepas, purata hasil dikeluarkan mencapai lima tan metrik sebulan dengan anggaran hasil kira-kira RM1 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya merancang untuk bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri bagi memasarkan udang tersebut menerusi Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah.

“Ini juga bagi memastikan bekalan udang dapat dijual kepada pengguna dengan harga berpatutan dan lebih murah daripada pasaran supaya masyarakat dapat manfaatnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan