CYBERJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Tujuh empangan bekalan air dikenal pasti berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan kawasan sekitarnya sekiranya berlaku sebarang kegagalan fungsi empangan terbabit termasuk kerana faktor cuaca.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago dalam sidang media di sini hari ini berkata tujuh empangan itu ialah Pedu dan Muda di Kedah; Durian Tunggal, Asahan dan Jus di Melaka; Mengkuang di Pulau Pinang; dan Linggui di Johor.
Beliau berkata tujuh empangan itu diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dalam Laporan Pemantauan Paras Empangan Bekalan Air 2022 selepas konsep penilaian risiko dibuat berdasarkan tiga faktor utama iaitu prestasi fizikal, rekod paras simpanan dan jumlah LRA di kawasan empangan berkenaan.
"Risikonya adalah terhadap isu pembekalan air, bukan empangan itu sendiri berbahaya. Ia boleh bahayakan pembekalan air sebab di sepanjang sungai yang berhubung dengan empangan itu, terdapat beberapa LRA yang mendapatkan sumber air dari empangan," katanya.
Bagi mengurangkan risiko yang dihadapi ketujuh-tujuh empangan terbabit, beliau berkata laporan berkenaan mencadangkan agar kerajaan negeri terlibat untuk membangunkan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) sebagai kolam takungan dan simpanan air bagi tujuan bekalan air.
"Pembinaan empangan baharu dilihat kurang berkesan kerana memerlukan kawasan tadahan yang luas.
"Oleh itu, pendekatan pembangunan TAPS dilihat sebagai alternatif dalam membantu meningkatkan keupayaan sumber air. Selain sebagai kolam takungan, TAPS juga boleh berfungsi menjadi tebatan banjir," katanya.
Santiago berkata TAPS bekerja dengan cara air mentah akan diambil dari sungai berdekatan dan disalurkan ke kolam takungan serta menjalani proses prarawatan pemendapan.
Air itu kemudiannya disalurkan ke LRA untuk menjalani proses rawatan selanjutnya sebelum diagihkan kepada pengguna, katanya.
Menurutnya Selangor telah mengguna pakai idea TAPS sejak 2008 di Bestari Jaya yang menjadikan bekas lombong sebagai kolam tadahan air untuk menyokong aliran Sungai Selangor yang menerima pelepasan air dari empangan Sungai Tinggi dan Empangan Sungai Selangor.
"Di sinilah kerajaan negeri lain perlu menggunakan cara yang sama. Kita mesti faham bukan sungai saja penting tetapi empangan juga penting dalam memastikan kelangsungan sumber bekalan air," katanya.
Santiago berkata laporan itu juga mengenal pasti 16 daripada 55 empangan bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan berusia lebih 50 tahun.
"Bagi empangan tersebut, kajian semula reka bentuk dan keselamatan empangan serta kaiian terhadap simpanan aktif serta simpanan mati perlu dijalankan kerana maklumat reka bentuk asal telah mengalami perubahan yang ketara," katanya.
SPAN adalah badan kawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial