KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Dasar gaji progresif dijangka melibatkan kos tambahan yang minimum kepada majikan kerana kerajaan bercadang untuk memberi insentif tunai kepada majikan terlibat bagi menampung kenaikan kos gaji pekerja, kata Kementerian Ekonomi hari ini.
Majikan akan menerima insentif tunai sekiranya memenuhi syarat-syarat berdasarkan garis panduan kenaikan gaji tahunan yang akan dikeluarkan oleh kerajaan.
Kementerian tersebut berkata penetapan gaji secara kolektif berdasarkan konsep pakatan tiga pihak iaitu antara majikan, kerajaan dan kesatuan sekerja memainkan peranan penting dalam meningkatkan gaji pekerja.
“Memandangkan kadar penyertaan dalam kesatuan sekerja yang masih rendah di Malaysia, kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan jumlah pekerja yang menyertai kesatuan melalui pendedahan yang berterusan berkenaan peranan dan faedah berkesatuan kepada pekerja,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Dasar gaji progresif bertujuan untuk meningkatkan gaji pekerja dan agihan pendapatan yang lebih saksama.
Pada 2022, gaji penengah mencatatkan RM2,424 berbanding sasaran Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kedua Belas iaitu sebanyak RM2,700 menjelang 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial