AM

Hanya 50 Peratus Majikan Patuh Akta 446

29/10/2023 05:05 PM

KULIM, 29 Okt (Bernama) -- Hanya 50 peratus majikan di seluruh Semenanjung mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446), kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Mohd Asri Abd Wahab.

Justeru, beliau berkata majikan selebihnya perlu meningkatkan kebajikan pekerja meliputi aspek antaranya kesihatan, kebersihan dan keselamatan tempat tinggal pekerja mereka.

"Saya harap majikan dapat tampil bertemu dengan JTKSM bagi mendapatkan nasihat untuk memastikan penginapan yang mereka sediakan kepada pekerja menepati syarat termaktub di bawah akta,” katanya kepada pemberita selepas Op Walit di beberapa buah premis di Taman Tiram di sini hari ini.

Dalam operasi itu, sebanyak lapan blok rumah kedai yang dijadikan asrama untuk pekerja tempatan dan warga asing membabitkan pelbagai sektor pekerjaan, telah diperiksa.

"Operasi hari ini tertumpu kepada isu penyediaan penginapan dan kita juga memeriksa sama ada majikan yang menempatkan pekerja mereka di deretan rumah kedai ini telah memperoleh Sijil Perakuan Penginapan atau sekurang-kurangnya telah memohon perakuan tersebut.

"Hasil pemeriksaan, walaupun majikan menyediakan penginapan tetapi ia tidak mempunyai Sijil Perakuan Penginapan daripada JTKSM, malah tiada rekod permohonan perakuan penginapan seperti yang tertakluk dalam Akta 446," katanya.

Sehubungan itu, katanya sebanyak 23 kertas siasatan dikeluarkan hari ini melibatkan beberapa kesalahan di bawah Akta 446 seperti tiada Sijil Perakuan Penginapan, tidak menyediakan katil, tilam, almari berkunci dan tandas seperti digariskan di bawah akta berkenaan.

"Kesemua kesalahan ini boleh dikenakan denda hingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

"Melihat kepada data berhubung Akta 446, bagi 2023 sahaja sebanyak 392 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu 284 kertas siasatan telah diberikan tawaran kompaun berjumlah RM2.71 juta," katanya.

Sebanyak 30 pegawai penguat kuasa terbabit dalam Op Walit yang dilaksanakan JTKSM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kedah hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan