AM

Mavcom Gantung Lesen Perkhidmatan Udara Myairline

01/11/2023 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pihaknya telah menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], penggantungan itu akan menjaga kepentingan penumpang dan pekerja yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik COVID-19.

MAVCOM berkata sebelum ini ia telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Okt, 2023, dan mengarahkan syarikat penerbangan itu untuk mengemukakan penjelasan bertulis dalam masa 14 hari.

Ia menambah surat tunjuk sebab itu, antara lain, menekankan kegagalan MYAirline untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara mengejut pada 12 Okt, 2023.

MAVCOM telah menerima penjelasan bertulis MYAirline pada 27 Okt dan selepas mengkaji penjelasan bertulis itu, suruhanjaya memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan bertulis tersebut adalah tidak memuaskan.

“MAVCOM juga mempertimbangkan pembatalan ASL MYAirline, namun ia akan memberi kesan kepada usaha untuk memulakan pembayaran balik kepada penumpang yang terjejas,” kata Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Suruhanjaya itu berkata MYAirline masih bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik kepada penumpangnya yang terjejas mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), walaupun ASL telah digantung.

Ia menyatakan sejumlah lebih daripada 117,000 penumpang terjejas disebabkan penggantungan operasi MYAirline dengan nilai jualan hadapan keseluruhan berjumlah lebih RM22 juta untuk penerbangan berjadual dari 12 Okt, 2023 hingga 31 Mac, 2024.

MAVCOM berkata sebahagian besar jualan hadapan adalah daripada agensi pelancongan iaitu sebanyak 58 peratus (RM12.8 juta), diikuti oleh 41.8 peratus (RM9.2 juta) daripada pembayaran yang dibuat melalui kad kredit atau debit.

“MAVCOM akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mencari penyelesaian untuk penumpang-penumpang yang terjejas dalam mendapatkan wang mereka kembali,” tambahnya.

Pasukan Petugas MAVCOM telah diberi mandat untuk melihat isu bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberikan cadangan mengenai langkah seterusnya termasuklah penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan