KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj dilantik Pengurus Media pada Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2023, dijadual berlangsung di Indonesia dari 10 Nov hingga 2 Dis.
Pelantikan itu menjadikan Christopher rakyat Malaysia kedua akan bertugas di pusingan akhir Piala Dunia itu selepas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsour Paul, yang pernah terlibat dalam Piala Dunia 2006 di Jerman.
Christopher dalam kenyataan hari ini berkata beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan operasi media berjalan lancar bermula 5 Nov sehingga final di Stadium Manahan Solo (Surakarta) di Jawa tengah, satu daripada empat venue Piala Dunia B-17 itu.
Sebanyak 14 perlawanan akan diadakan di Stadium Manahan termasuk perlawanan akhir yang dijadual pada 2 Dis.
Tiga lagi venue yang akan menyaksikan kehebatan dan bakat pemain remaja adalah Stadium Gelora Bung Tomo di Surabaya, Jakarta International Stadium dan Stadium Si Jalak Harupat di Bandung.
Christopher, yang juga Ahli Jawatankuasa Media AFC, sebelum ini pernah bertugas pada kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Rusia 2018, Piala Dunia Qatar 2022, Piala Dunia B-17 India 2017 dan Piala Emas CONCACAF Amerika 2019.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial