AM

Kpm Terus Komited Mengurangkan Jurang Pendidikan Di Pedalaman Sabah, Sarawak

05/11/2023 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited mengurangkan jurang pendidikan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan memberi fokus utama kepada sekolah daif. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selaras dengan Belanjawan 2024, KPM akan memberi fokus untuk membina sekolah baharu di pedalaman dengan tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak. 

“Kita nak keseimbangan itu (sekolah) berlaku dan bila kita bercakap dengan pembangunan kokurikulum dan pembangunan sahsiah ia termasuk juga dengan pembangunan-pembangunan infrastruktur “ katanya pada sidang media Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di sini, hari ini. 

Dalam majlis itu, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Sarawak dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2023 sekali gus membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000. 

Muhammad Nazmi yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris dipilih sebagai pemenang kerana ikhtiarnya mendidik murid-murid di sekolah dengan membuat latihan simulasi bilik darjah, dengan anak muridnya  diperkenalkan kepada pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan hanya menggunakan bahan kitar semula. 

Beliau yang sebagai pelopor Kelab Filpen (filem pendek) berkata beliau juga memberi ruang kepada muridnya untuk mengekspresikan diri mereka melalui pembikinan filem pendek yang antaranya filem ‘Teether’ yang berjaya diterima ke festival filem Horror Unleashed di Portugal.

Mengulas mengenai kemenangannya, Muhammad Nazmi berkata beliau sangat bersyukur kerana kegigihannya membuahkan hasil. 

“Bagi saya, platform ini adalah peluang untuk bukan sahaja berkongsi kisah kehidupan seharian kita sebagai pendidik, tetapi juga untuk menyerlahkan akar umbi matlamat hidup kita, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan