KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Cadangan pengecualian bayaran tol sempena Deepavali yang bakal disambut hujung minggu ini sedang dalam perbincangan, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata antara perkara yang diteliti adalah aspek perkongsian kos dengan syarikat pengendali lebuh raya.
“Kita tahu tentang cadangan pengecualian bayaran tol yang banyak kali disentuh ahli yang berhormat termasuk oleh Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng).
“Untuk makluman, tol percuma dalam perbincangan. Insya-Allah ada berita baik, tunggulah dalam masa dua tiga hari lagi, kerajaan akan umumkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi pertanyaan lisan meminta Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk memberikan sebarang pelepasan tol sempena Deepavali.
Bagaimanapun Abdul Rahman berkata sebarang pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial