AM

Boikot Produk Israel: Ksm Belum Terima Laporan Pekerja Dibuang - Sivakumar

07/11/2023 07:05 PM

IPOH, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkenaan pembuangan kerja ekoran terdapat gerakan memboikot barangan berkaitan Israel dalam negara.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar mengesahkan perkara itu ketika ditanya sama ada KSM menerima sebarang laporan mengenai syarikat yang memberhentikan pekerja akibat daripada tindakan boikot itu.

"Setakat ini, KSM tidak terima apa-apa laporan berkaitan pembuangan kerja dan sebagainya... kalau ada aduan kita akan tengok, tiada aduan saya tidak boleh komen," katanya pada sidang media sempena majlis Sambutan Deepavali Pertubuhan Keselamatan Sosial 2023 di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan ramai individu terkesan selepas rakyat Malaysia bersatu hati memboikot produk keluaran Israel termasuk jenama yang memberi sokongan kepada negara itu.

Laporan itu menyebut rata-rata pekerja sambilan terpaksa diberhentikan kerana syarikat tidak lagi menerima pelanggan yang ramai.

Sivakumar juga berkata amaran keras telah diberikan sebelum ini kepada pihak yang membawa masuk warga asing ke Malaysia namun gagal menguruskan mereka dengan betul dari segi gaji mahupun skop pekerjaan.

Menteri itu berkata beliau tidak mahu melihat elemen buruh paksa wujud di Malaysia kerana ia boleh menimbulkan banyak masalah.

"Jadi saya mahu semua majikan dan ejen yang terlibat berhenti melakukan kerja-kerja seperti ini. Membawa mereka masuk tanpa pekerjaan adalah satu kesalahan, pastikan majikan ada pekerjaan untuk mereka, baru bawa mereka masuk... kalau ditangkap, tindakan tegas pasti akan diambil," katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pekerja warga Nepal di Malaysia menerima gaji yang kecil dan terpaksa berdepan persekitaran pekerjaan berbahaya.

Pada 5 Nov lepas, Sivakumar berkata KSM akan menjalankan operasi di seluruh negara susulan surat seorang aktivis hak migran kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak-Hak Asasi Manusia (OHCHR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung nasib pekerja Bangladesh di Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan