AM

Kecekapan Pegawai Kerajaan Perlu Dipertingkat Bagi Percepat Pelaksanaan Projek - Pm

09/11/2023 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Tahap kecekapan pegawai kerajaan di seluruh negara perlu dipertingkatkan bagi mempercepat kelulusan sebarang pelaksanaan projek atau dasar pada masa akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun ketika ini kecekapan pelaksanaan projek di dalam negara dilihat berada pada tahap baik, namun tahap kecepatan kelulusan projek masih belum memuaskan, katanya.

Justeru, beliau berkata mereka perlu diberikan pendedahan dan latihan tambahan mengenai perancangan dan kaedah menangani permasalahan yang melibatkan pelaksanaan projek di satu-satu kawasan berkaitan.

“Antara cabaran kita adalah kepantasan atau kecepatan meluluskan bila sudah ada keputusan. Betul, kita sudah runding dan teliti tetapi ada masalah kita lewat meluluskan (projek) bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara.

Ini yang disebut ‘ease of doing business’, maknanya kepantasan atau kecepatan meluluskan setelah mengambil kira semua peraturan diteliti, dicerakin sebelum kelulusan dibuat,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengingatkan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak melengahkan mana-mana projek pembangunan yang telah diputuskan dan diluluskan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat Khas bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipengerusikannya pagi tadi telah memutuskan supaya laporan berkaitan status pelaksanaan projek pembangunan di ibu kota dibentangkan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan penangguhan projek sehingga berkemungkinan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak, terutamanya yang melibatkan projek rakyat.

“Kita tidak boleh lengahkan projek yang telah diputus dan diluluskan. Sebab itu, kita putuskan dalam tempoh dua minggu, saya mahu supaya laporan tentang pelaksanaan keputusan (projek) disampaikan.

Kalau tidak... nanti keputusan (projek) akan kita tangguh sampai tahun hadapan,” katanya. 

Usai program berkenaan, Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata beberapa pelan dan struktur yang telah dipersetujui sebelum ini dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL)  2040 tetap diteruskan dengan penekanan tambahan supaya ia bersesuaian dengan situasi semasa.

Beliau berkata PSKL 2040 sebelum ini ditangguhkan susulan permintaan kerajaan bagi mengubah suai pelan itu supaya dapat diselaraskan mengikut kerangka MADANI yang diperkenalkan.

“Insya-Allah, PSKL 2040 bakal memartabatkan ibu negara Malaysia sebagai bandar raya inklusif berpaksikan pembangunan mampan, pengurusan bertaraf antarabangsa serta jaminan kualiti hidup bandar raya yang sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan