AM

Jbpm Sedia Gerakkan 600 Pegawai Bomba Bantuan Siswa Hadapi Mtl

13/11/2023 04:21 PM

BATU PAHAT, 13 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan kira-kira 600 Pegawai Bomba Bantuan Siswa (PBBS) bagi menyertai 24,000 pegawai dan anggota jabatan berkenaan dalam operasi ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pegawai PBBS berkenaan akan ditugaskan bagi menghadapi situasi menyelamat ketika bencana banjir atau ribut mengikut lokasi balai bomba yang berhampiran kediaman masing-masing.

Beliau berkata kesemua pegawai PBBS itu merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Bagaimanapun, pegawai PBBS ini perlu mendaftarkan diri di balai bomba berhampiran terlebih dahulu bagi membolehkan mereka menyertai anggota bomba yang bertugas pada musim monsun kali ini.

“Kita amat menggalakkan penyertaan mereka, selain dapat mempraktikkan ilmu kebombaan yang ada ia juga dapat mengisi penggiliran serta menambah bilangan anggota yang bertugas,” katanya kepada pemberita  selepas Majlis Pentauliahan PBBS UTHM di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan 46 pegawai PBBS UTHM menerima sijil pentauliahan masing-masing.

Nor Hisham berkata 24,000 anggota yang ditugaskan ketika musim MTL kali ini terdiri daripada 14,500 pegawai dan anggota tetap, 2,000 anggota bomba bantuan dan hampir 8,000 anggota bomba sukarela, dengan 1,150 aset diletakkan dalam keadaan siap siaga.

Dalam pada itu, menurutnya bagi menambah lagi bilangan pegawai PBBS pada masa akan datang pihaknya menyasarkan enam universiti menyertai program Kor Siswa Bomba menjelang 2025.

“UTHM merupakan universiti yang paling ramai melahirkan pegawai PBBS dan hingga hari ini seramai 268 berjaya menerima sijil tauliah, manakala bakinya daripada USIM dan UiTM.

“Selain bertugas di balai bomba berhampiran, pegawai PBBS ini juga berpeluang bekerja di premis swasta melalui program Pengurus Keselamatan Kebakaran dan mengikut rekod sebanyak 8,000 premis didaftarkan dengan bomba,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan