KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Harga rendah yang ditawarkan menerusi Jualan Rahmah Bergerak melegakan penduduk kawasan perumahan Tanah Putih Baru di sini, apabila mereka dapat menjimatkan perbelanjaan bagi memperoleh barangan keperluan.
Pekerja swasta, Khamsani Yahaya, 42, berkata dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai barangan antaranya beras dan minyak masak yang dijual dengan harga murah serta berbaloi untuk membelinya.
“Kebanyakan benda (barangan) yang dijual saya beli, tetapi paling berbaloi beli beras dijual RM15 bagi lima kilogram (kg) dan RM25 bagi minyak masak lima kg... memang sangat menjimatkan dan murah daripada pasar raya.
“Program jualan ini pertama kali diadakan di kawasan perumahan kami dan saya harap akan dianjurkan lagi bagi membantu rakyat mendapatkan barang pada harga berpatutan,” katanya kepada Bernama.
Warga emas Wan Zaitun Wan Long, 63, pula berharap program jualan itu diadakan setiap minggu bagi membantu rakyat mendapatkan barangan dengan harga rendah terutama bahan basah seperti ayam yang dijual dengan harga RM10 seekor.
“Saya tengok program ini dapat sambutan dan ramai orang yang datang, saya pun tak nak ketinggalan untuk ke mari dan membeli beberapa barangan yang murah. Penganjurannya di kawasan perumahan memudahkan orang ramai mendapatkan barangan tanpa perlu keluar jauh,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati meskipun hujan, penduduk kawasan itu tetap berbaris bagi mendapatkan pelbagai barangan menerusi jualan kedai cari rakyat itu, yang bermula pada 10 pagi.
Sementara itu, Tok Ampat Kampung Tanah Putih Johari Kamal berkata inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu dilihat dapat memanfaatkan kira-kira 1,000 ketua isi rumah di kawasan berkenaan.
“Saya tengok sistem pembelian juga teratur, pembeli tidak perlu berebut untuk mendapatkan barangan keperluan mereka dan saya bercadang untuk memohon jualan ini diadakan sekali lagi di sini kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial