JOHOR BAHRU, 22 Nov (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) yang membawa gelaran “Datuk” kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Mengikut hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda, majlis pengurniaan darjah yang berlangsung di Bilik Singgahsana, Istana Besar, di sini, diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan yang ke-65, hari ini.
Berangkat sama, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, isteri Tunku Ismail, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustaman dan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.
Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah serta keluarga Diraja Johor.
Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran “Datuk”. Beliau yang tersenarai dalam senarai penerima darjah, bagaimanapun tidak hadir, menurut Royal Press Office.
Pengurniaan darjah berkenaan akan dibuat pada tarikh yang akan ditentukan kelak.
Pada majlis yang sama, Sultan Ibrahim turut mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’.
Empat penerima DMIJ ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Ismail Abu, Ketua Hakim Syariah Johor Datuk Muhammad Khaldun Mohamad Sharif, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial