AM

Kami Mahu Gencatan Senjata Kekal, Kata Duta Palestin

22/11/2023 08:15 PM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata apa yang mereka mahukan adalah gencatan senjata yang berkekalan dan mewujudkan koridor kemanusiaan segera.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohannya terhadap rakyat Palestin di Gaza dan pendudukan di Tebing Barat, sambil menambah bahawa rejim Israel tidak akan pernah menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin.

"Pagi ini, mereka menyerang Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki di sebelah Utara. Serangan Israel menyasarkan semua rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Mereka percaya bahawa satu-satunya rakyat Palestin yang baik adalah rakyat Palestin yang sudah meninggal dunia.

"Kerajaan (Presiden Amerika Syarikat) Joe Bidenlah yang sepatutnya menghalang (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu daripada membunuh penduduk Palestin yang tidak bersalah itu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Kedutaan Palestin di sini pada Rabu.

Kerajaan Israel dan Hamas pada Rabu bersetuju untuk mengadakan genjatan senjata selama empat hari dengan Qatar sebagai pengantara.

Kementerian Luar Qatar berkata tempoh permulaan gencatan senjata itu akan diumumkan dalam tempoh 24 jam akan datang, tertakluk kepada pelanjutan.

"Kebimbangan utama Benjamin Netanyahu kononnya untuk membebaskan "tebusan". Tetapi saya (Walid) memanggil mereka tahanan bukan tebusan kerana terdapat 7,000 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel," katanya.

Beliau berkata apa yang menjadi persoalan mengapa hanya tahanan mereka sahaja penting, adakah ribuan rakyat Palestin yang ditahan itu tidak penting. 

Duta itu menekankan bahawa manusia tidak boleh berpecah-belah dan mengapa rakyat Palestin diberikan layanan yang tidak adil oleh masyarakat antarabangsa sedangkan rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentang pendudukan Israel.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel untuk mewujudkan koridor kemanusiaan yang selamat untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi musim sejuk.

Walid menekankan bahawa hampir 1.5 juta rakyat Palestin dipaksa berpindah ke wilayah selatan Gaza, dan terpaksa berdepan cuaca buruk dan kehilangan tempat tinggal.

"Komuniti antarabangsa mesti memaksa Israel membenarkan koridor kemanusiaan dan membenarkan bantuan luar seperti ubat-ubatan, air, makanan, bahan api dan semua keperluan asas kemanusiaan ke Gaza," katanya.

Sekurang-kurangnya 14,128 rakyat Palestin telah dibunuh dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt, termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,500 wanita.

Selain itu, 218 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Tebing Barat.

Duta itu juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya menyalurkan sumbangan mereka kepada perjuangan Palestin melalui akaun bank yang sah yang diuruskan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dan bukan melalui pihak ketiga.

"Pada masa ini, Wisma Putra adalah satu-satunya entiti yang dibenarkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Bulan Sabit Merah Mesir dan Bulan Sabit Merah Palestin," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang prihatin juga boleh menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di negara ini, khususnya pelajar yang terputus hubungan dengan keluarga di Gaza.

"Keluarga mereka tidak lagi boleh menaja mereka di Malaysia dan beberapa universiti telah memulakan projek untuk membantu pelajar Palestin yang menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Pada masa ini, terdapat 4,000 rakyat Palestin di Malaysia, termasuk 1,000 orang yang sedang melanjutkan pengajian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan