AM

Airasia Grocer, Bantu Heroes Lancar Program Pertanian Inovatif Di Sekolah

23/11/2023 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- AirAsia Grocer bekerjasama dengan Bantu Heroes hari ini untuk mencapai matlamat kelestarian sulung mereka dikenali sebagai "The Little Green Fingers Project" (Bantu Farm), sebuah program pertanian yang inovatif di REAL International and Private Schools, Kampus Cheras.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata dengan pelancaran Bantu Farm, program itu dapat mengembangkan potensi ke arah usaha mengintegrasikan pertanian dalam kurikulum sekolah dengan pelajar didedahkan terhadap pengalaman praktikal selain memupuk pemahaman lebih mendalam tentang amalan pertanian sejak dari usia muda.

Beliau berkata program ini dapat mendidik generasi muda bahawa bertani merupakan aktiviti menyeronokkan yang boleh mereka amalkan di mana-mana sahaja bermula dari sekolah.

"Kami secara konsisten memperjuangkan penglibatan belia dalam sektor ini.

“Kami juga telah memperkenalkan pelbagai projek, skim dan geran yang disasarkan bukan sahaja kepada usahawan muda tetapi juga kepada pelajar sekolah dan masyarakat setempat secara lebih meluas,” katanya selepas merasmikan program pertanian inovatif pertama, di sini hari ini.

Beliau berkata pertanian bandar bukan semata-mata mengenai penanaman tanaman terhad di dalam bandar, namun ia sebagai anjakan paradigma menerusi pendekatan terhadap pertanian.

Menurut Chan, ia juga sebagai pengiktirafan terhadap keperluan untuk menyetempatkan pengeluaran makanan, mengurangkan jejak karbon, dan membina rantaian bekalan makanan yang lebih teguh dan berdaya tahan.

Di samping itu, sekolah akan menyediakan pelbagai program yang memperkenalkan pelbagai kurikulum yang menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman, memupuk kemahiran praktikal, kebolehan berfikir secara kritis dan menyediakan pendekatan pengajaran yang inovatif secara berterusan, untuk memperkasakan pelajar ke arah memberi tumpuan kepada projek kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan