BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 FOKUS BERNAMA

ArtsFAS 2023 Raikan Kepelbagaian Kebudayaan Menerusi Persembahan Seni

28/11/2023 11:46 AM
Daripada Soon Li Wei

Wajah Lim Yi Kai, 32, Lee Sheah Liang, 34, dan Damien Leow, 35, tampak begitu ceria tatkala berkongsi kisah mengenai festival 'Drum Up JB 2023' dalam satu pertemuan dengan Bernama baru-baru ini.

Usaha untuk menggabungkan unsur kepelbagaian kebudayaan Malaysia menerusi gendang, pergerakan dan muzik ini bermula sejak Jun 2022 dan sebanyak 16 persembahan diadakan sejak Januari 2023.

'Drum Up JB!’ melibatkan gabungan alat perkusi, kombinasi gendang, pergerakan fizikal dan unsur lain bagi menghasilkan visual artistik dan pengalaman deria pendengaran. Ia dipimpin dua kumpulan kebudayaan terkemuka di Johor Bahru iaitu 'JB Drums' dan 'Orang-Orang Drum Theatre (OODT)'.  

pic-2 

Persembahan selama 90 minit ini yang mengandungi dua tema -  '24 Festive Drums' dan 'LaguKu' mengadunkan gabungan tenaga kreatif serta kepelbagaian kebudayaan Johor Bahru, sekali lagi akan dilangsungkan di Panggung Opera Permaisuri Zarith Sofiah pada 30 Disember depan. Sebelum ini, ia berlangsung pada 12 Ogos dan 14 Oktober lepas.

Projek ini adalah salah satu daripada 39 rakan kongsi Arts for All Seasons (ArtsFAS) 2023 dengan tema #SeniKitaKitaPunya yang menerima geran sokongan daripada Yayasan Hasanah (Hasanah) sejak September tahun ini (2023).

Hasanah ditubuhkan pada 1 Julai 2015 sebagai yayasan berkecuali yang mengeluarkan geran, dengan matlamat menghasilkan impak besar yang melengkapkan usaha Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk kemajuan Malaysia. Yayasan ini memberi fokus kepada isu penting di negara ini melibatkan komuniti, sosial dan alam sekitar. 

 

 

PAPARKAN SEJARAH BUDAYA 

 

Berkongsi lanjut mengenai persembahan itu, pengurus jerayawara persembahan OODT Damien Leow berkata, bahagian pertama akan membawa penonton menjejak sejarah '24 Festive Drums'' menerusi usaha daripada pelbagai era, untuk membolehkan mereka menghargai warisan kebudayaan Malaysia. 

"Di bahagian kedua, kami akan menggunakan muzik gendang dan koir untuk memaparkan adunan alat muzik perkusi pelbagai kumpulan etnik di Malaysia, dengan harapan bunyian asli gendang serta ‘lagu’ santai dapat menarik perhatian penonton untuk sama-sama berhibur. 

"Penonton juga dapat menikmati kombinasi muzik dengan pelbagai alat muzik seperti ShiGu Cina, gendang Melayu dan jidor, alat muzik masyarakat Orang Asli Sabah, seperti kuling tangan dan gong, di samping sape dari Sarawak.

"Kami menonjolkan warisan tiga etnik utama di Malaysia, tanpa melupakan rakan dari Sabah dan Sarawak," beliau memberitahu Bernama. 

Pengeluar bersama 'Drum Up JB' yang juga bekas pemain gendang 'JB Drum’, Lee Sheah Liang berkata, tidak ramai yang tahu bahawa persembahan ‘24 Festive Drums’ berasal dari Johor Bahru dan dihasilkan oleh dua pujangga dan ahli muzik Malaysia iaitu Tan Chai Puan and Tan Hooi Song pada tahun 1988.

pic-3

"Ramai yang beranggapan ia dari China tetapi sebenarnya tidak. Pada tahun 2009, seni ini diiktiraf sebagai warisan tidak ketara budaya Malaysia dan sejak itu mendapat pengiktirafan sejagat.

"Sementara ramai menyaksikan persembahan 24 festives drums sewaktu acara perasmian atau pertunjukan hiburan, belum ada majlis tertentu yang menunjukkan dengan lebih mendalam seni ini, yang memaparkan warisan kebudayan kita serta perkembangannya sejak 35 tahun lalu di Johor Bahru," katanya.

Lee, yang juga seorang usahawan berharap suatu hari nanti Johor Bahru akan diiktiraf sebagai hab untuk bandar warisan kebudayaan oleh kerajaan negeri. 

"Dengan penyertaan kami sebagai sebahagian daripada ArtsFAS 2023, kami berharap dapat mengekal serta mempromosikan budaya 24 festive drums sebagai warisan tidak ketara kebudayaan kebangsaan Malaysia.

"Sejak penubuhannya pada tahun 2006, JB Drums mengambil khidmat jurulatih profesional untuk memberi latihan di pelbagai sekolah rendah dan menengah di samping persatuan, mendidik dan membimbing lebih daripada 20 pasukan gendang terdiri daripada kumpulan usia yang berbeza. 

"Sebagai tambahan, mereka membuat persembahan di lima benua iaitu Asia, Eropah, Admerica, Oceania (Australia) dan Afrika yang berjaya menjadikan 24 Festive Drums semakin dikenali," katanya menambah, mereka juga menubuhkan dua kumpulan gendang di Afrika pada bulan April 2022. 

 

 

MELIBATKAN TUKANG KRAF 

 

Sementara itu, penerima geran ArtsFAS 2023, Ariza Mohd Yusoff dari Persatuan Pekerja Seni dan Warisan Anak-anak Kelantan berkata, warisan tradisional dan kebudayaan boleh digunakan untuk menyatukan orang ramai, tanpa mengira usia serta latar belakang, menerusi festival seni. 

Katanya, Festival Wau 2023 yang akan diadakan pada 30 Nov hingga 2 Dis ini di Kampung Laut, Wakaf Bahru, Kelantan, boleh memupuk rasa cinta masyarakat terhadap seni warisan negara di samping mencungkil bakat generasi muda dalam menghasilkan wau atau layang-layang. 

pic-4

"Lazimnya generasi muda begitu sinonim dengan gajet, namun menerusi festival ini kami mahu menaikkan kembali permainan tradisional zaman kanak-kanak terdahulu untuk generasi baharu menghayati warisan dan tradisi turun-temurun, selain mengeratkan silaturrahim antara mereka. 

"Kami bukan setakat mahu mengangkat kembali permainan wau, tetapi juga permainan tradisional lain seperti congkak dan batu seremban," katanya menambah, festival berkenaan juga adalah sebahagian daripada persiapan untuk Tahun Melawat Kelantan 2024. 

Menurut Ariza, pihaknya turut menampilkan para pembuat wau dan penggiat seni kraf khususnya golongan veteran untuk turut serta mempamerkan hasil kraftangan mereka di festival itu.

"Selama ini kebanyakan mereka hanya bekerja di belakang tadbir, namun pada festival kali ini, kami mahu membawa mereka untuk berinteraksi dengan pengunjung di samping demonstrasi membuat wau supaya mereka lebih dekat dengan orang ramai. 

"Ia bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada pengunjung berhubung penghasilan wau, tetapi membantu daripada segi pemasaran produk hasil kraftangan tradisional kerana sebelum ini mereka kurang kemahiran dalam mengkomersialkan produk mereka.

"Kami pasti pengunjung bukan hanya dalam kalangan masyarakat tempatan tetapi juga pelancong asing dari luar negara. Kami turut bekerjasama dengan persatuan wanita Kelantan untuk mempromosikan makanan terutamanya kuih-muih tradisional masyarakat negeri Cik Siti Wan Kembang ini kepada mereka yang datang nanti," katanya. 

 

 

MENGEKALKAN SENI 

 

ArtsFAS 2023 yang digerakkan oleh Yayasan Hasanah, secara kerjasama dengan Kementerian Kewangan menganugerahkan geran berjumlah hampir RM4.5 juta kepada pengamal seni, warisan (AHC) ke arah mengekalkan AHC mampan menerusi kegiatan iaitu acara yang boleh dihadiri orang ramai.

Menurut pemegang amanah dan pengarah urusan Yayasan Hasanah Datuk Shahira Ahmed Bazari, seramai 39 rakan kongsi ArtsFAS diberi geran untuk mengadakan 142 pertunjukan kebudayaan di seluruh negara. 

"Dengan tema pergerakan #SeniKitaKitaPunya, ia memaparkan gendang festival Cina, Wayang Kulit, teater Bangsawan, tarian klasik India, pesta wau tradisional, makanan warisan Sarawak dan banyak lagi, bermula Mac hingga Disember tahun ini," katanya.

pic-5

Shahira berkata, rakyat Malaysia hari ini berdepan dengan krisis kebudayaan kerana pengamal seni, kebudayaan dan warisan semakin berusia dan tidak ada saluran untuk memindahkan pengetahuan mereka.

"Hari ini, dengan semakin meluasnya penggunaan media sosial menghasilkan naratif kebudayaan yang baharu dalam kalangan generasi muda, kita semakin terpisah daripada warisan kebudayaan kita.

"Aset kebudayaan dilihat sebagai tidak lebih daripada artifak pasif di muzium, sebagai hiasan untuk majlis istimewa atau sesuatu yang diperuntukkan khas bagi golongan tertentu sahaja. Kita berisiko kehilangan bukan sahaja warisan kebudayaan tetapi juga sebahagian daripada identiti kita sebagai rakyat Malaysia, yang menyatukan kita semua.

“ArtsFAS menawarkan ruang untuk acara seni dan kebudayaan tempatan, kerana seni adalah untuk semua peringkat generasi dan lapisan masyarakat,” katanya menambah, inklusiviti adalah kunci untuk menjamin warisan kita kekal, mempertahankan kepelbagaian dalam bentuk seni dan komuniti yang kita perkasa. Dalam masa sama kita memastikan semua orang mempunyai akses untuk menikmati seni.

Sejak penubuhannya pada tahun 2021, ArtsFAS menyediakan geran sebanyak RM10.2 juta kepada 63 rakan kongsi menerusi 333 acara seni, warisan dan kebudayaan. Ia juga menyediakan peluang ekonomi kepada lebih 7,500 individu dalam sektor kreatif.

"Perkongsian ini memperkasa rakan kongsi ArtsFAS untuk memperluaskan capaian kami, menyediakan peluang pekerjaan serta mencapai penonton yang lebih luas.  Kami bersedia membantu lebih banyak inisitiaf dalam masa sama mengekal identiti kebudayaan kita dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan dalam sektor berkenaan," kata Shahira.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan