ALOR SETAR, 28 Nov (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah meluluskan projek pembinaan 3,669 unit Asrama Kakitangan Berpusat (CLQ) bagi menampung 30,541 pekerja asing di daerah Kulim dan sekitar kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan Kedah Wong Chia Zhen berkata CLQ itu merupakan inisiatif bagi mengawal pergerakan dan aktiviti penempatan pekerja asing di kawasan perumahan tempatan.
“Sehingga kini, sebanyak 911 unit baharu yang boleh menampung 8,919 pekerja warga asing sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2024.
“Manakala pihak berkuasa tempatan KHTP telah meluluskan pembangunan CLQ yang dijangka dapat memuatkan 1,500 pekerja asing apabila ia siap tahun hadapan. Selain itu, terdapat sebuah CLQ sementara di tapak pembinaan Zon Industri Fasa 4 KHTP yang memuatkan 1,200 pekerja asing,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khairul Anuar Ramli (PN-Lunas) mengenai inisiatif diambil oleh kerajaan untuk menyediakan CLQ kepada pekerja asing yang sah di KHTP.
Wong berkata penyediaan CLQ ini juga dapat memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk tempatan lebih terjamin, pengawalan penyakit berjangkit dan menjadikan lalu lintas lebih terkawal selain mengurangkan masalah sosial.
“CLQ yang teratur dan terkawal ini secara tidak langsung memberi impak positif kepada kualiti kehidupan harian penduduk tempatan serta pekerja asing,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan CLQ juga akan ditambah mengikut keperluan industri dan pertambahan pekerja asing di seluruh Kedah dari semasa ke semasa.
Menjawab soalan tambahan Khairul Anuar mengenai rancangan untuk mengatasi isu jenayah dan rasuah yang mungkin timbul akibat ketidaktenteraman ekoran lambakan pekerja asing, Wong berkata program kesedaran keselamatan perlu dilaksanakan.
“Selain itu, rondaan dan operasi secara berkala antara kerjasama penduduk setempat dan pihak berkuasa juga dapat membantu mengurangkan isu jenayah serta rasuah yang mungkin timbul akibat ketidaktenteraman berkaitan pekerja asing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial