SUKAN

Jwc: Mampukah Young Tigers Cipta Sejarah Di Gelanggang Sendiri?

05/12/2023 12:42 AM

Oleh Nurul Izzati Binti Mansor

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kejohanan hoki Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 yang akan membuka tirai di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil esok, menjadi pentas buat skuad remaja kebangsaan untuk memburu podium buat kali pertama dalam 44 tahun penganjurannya.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah kedudukan keempat sebanyak tiga kali iaitu pada edisi sulung 1979 di Perancis, 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di India manakala pada edisi 2021, perjalanan skuad negara terhenti di suku akhir.

Tampil dengan persediaan rapi dan kelebihan beraksi di laman sendiri, penyokong tanah air sudah pastinya mahu melihat skuad Young Tigers mempamerkan aksi cemerlang untuk mencabar pasukan terbaik dunia bagi kedudukan podium.

Bagaimanapun, Young Tigers bakal berdepan cabaran getir menentang juara bertahan Argentina, juara 1997 Australia dan Chile, dengan hanya dua pasukan terbaik mara ke suku akhir.

Diundi dalam Kumpulan A, cabaran pasukan di bawah kendalian Muhamad Amin Rahim akan bermula dengan aksi menentang Chile esok, diikuti Argentina pada Rabu ini (6 Dis) dan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Australia pada Jumaat ini (8 Dis).

Di atas kertas, Malaysia di rangking kelapan dunia dijangka tidak berdepan masalah bertemu Chile (ke-20), namun tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan lawan selepas sekadar menang tipis 2-1 di peringkat kumpulan pada edisi 2021 di Bhubaneswar, India.

Kemenangan pada aksi pertama esok cukup penting buat Young Tigers bukan sahaja dalam meraih tiga mata pertama, tetapi juga untuk mendapatkan tonik tambahan bagi mengharungi dua pasukan gergasi hoki dunia - Argentina dan Australia - selepas itu.

Perlawanan kedua menyaksikan skuad negara berdepan Argentina yang juga juara Kejohanan Remaja Pan American lelaki pada April lepas, namun bukan mustahil untuk ‘menjinakkan’ mereka sekiranya menampilkan aksi terbaik.  

Ranking Australia yang berada satu tangga di belakang Young Tigers tidak mencerminkan kekuatan sebenar mereka yang muncul naib juara kejohanan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 manakala Malaysia sekadar ketujuh daripada lapan pasukan bertanding.

Sebagai rekod, Malaysia pernah memenangi enam perlawanan dan satu seri bertemu Australia dalam keseluruhan 22 aksi pelbagai kejohanan dan temasya sejak 1956. 

Selain kemenangan menentang Chile, Malaysia sekurang-kurangnya perlu mencuri mata menentang Argentina dan Australia sekiranya mahu melangkah ke suku akhir.

Muhamad Amin mengambil langkah berani dengan menyenaraikan pemain termuda berusia 17 tahun  Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari yang beraksi di posisi tengah, dalam senarai 20 pemain akhir yang akan beraksi pada JWC kali ini.

Menerusi senarai yang diumumkan, 18 daripada mereka merupakan pemain yang beraksi pada SOJC 2023 yang lepas dan sembilan pemain pula bakal melakukan penampilan terakhir pada edisi kali ini.

Percaturan Muhamad Amin yang telah merangka pelbagai strategi termasuk mendapatkan sentuhan pakar sudut penalti dari Australia Chris Ciriello, sudah pastinya telah mempersiapkan Young Tigers dalam keadaan terbaik untuk berentap esok. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan