SUKAN

Timbalan Perdana Menteri Timor-leste Melawat Afc

05/12/2023 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay hari ini mengadakan lawatan ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di AFC House, Bukit Jalil, di sini.

Ketibaan beliau yang diiringi Duta Timor-Leste ke Malaysia Joana Veneranda Amaral disambut Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John.

Lawatan selama 30 minit itu menyaksikan Kalbuadi Lay beramah mesra dengan Windsor yang juga kenalan lamanya, selain membincangkan keadaan semasa bola sepak antarabangsa dan Timor-Leste.

Mereka kemudian bertukar cenderamata dan mengadakan sesi bergambar sebelum Kalbuadi Lay meninggalkan AFC House.

Windsor berkata antara perkara dibincangkan adalah projek yang sangat penting untuk Timor-Leste iaitu pembinaan stadium mencapai standard piawaian sekali gus membolehkan mereka menganjurkan perlawanan antarabangsa di laman sendiri.

“Jadi ia salah satu projek yang kita harap dapat dipenuhi secepat mungkin, itu salah satu daripada janji yang diberikan tadi, jadi kita harap projek ini akan dijalankan dengan baik,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Windsor menyifatkan kedatangan Kalbuadi Lay itu seperti pulang ke rumah sendiri.

Beliau berkata telah lama mengenali Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste itu iaitu sejak Kalbuadi Lay memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Timor-Leste dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.

“Kita rasa beliau adalah seorang yang sangat minatkan bidang bola sepak, dengan beliau menjadi Naib Perdana Menteri kita harap lebih banyak bantuan akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Timor-Leste,” katanya.

Kalbuadi Lay kini dalam lawatan empat hari ke Malaysia bermula semalam dan dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan