JENAYAH & MAHKAMAH

Waspada Penipuan Berkaitan Program Emadani - Bukit Aman

05/12/2023 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Orang ramai diminta waspada berhubung pendaftaran eMADANI yang bermula semalam, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf hari ini mengingatkan orang ramai, agar tidak menekan sebarang pautan daripada mana-mana iklan atau e-mel, serta jangan menggunakan orang tengah sebagai pendaftar, bagi akaun e-dompet.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penipuan Program eMADANI, namun langkah berwaspada perlu seperti melakukan pendaftaran Program eMADANI melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch N’ Go eWallet.

“Orang ramai dinasihat untuk mematuhi syarat-syarat penggunaan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dan jangan terpedaya dengan tawaran perkhidmatan di media sosial, terutamanya berkaitan penebusan kredit eMADANI kepada wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bantuan kredit eMADANI yang dilaksanakan secara sekali bayar itu dibuka bagi pendaftaran dan tuntutan mulai 4 Dis 2023 hingga 20 Feb 2024, yang akan memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak, melibatkan peruntukan RM1 bilion.

Bantuan itu, disasarkan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40.

Media hari ini melaporkan pengguna media sosial mula menawarkan perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMADANI, menerusi pelbagi paltform media sosial.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga hari ini dilaporkan menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan helah penipuan yang menawarkan khidmat penebusan tunai bagi kredit e-tunai RM100, eMADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan