EKONOMI

Surbana Jurong, Invest Sarawak Meterai Mou Usaha Masa Depan Sifar Bersih

05/12/2023 10:17 PM

SINGAPURA, 5 Dis (Bernama) -- Surbana Jurong Pte Ltd, firma perunding bandar, infrastruktur dan perkhidmatan terurus Singapura, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Invest Sarawak untuk mewujudkan kerjasama dan perkongsian bagi memperkukuh inisiatif peralihan tenaga, transformasi dan penyahkarbonan di Sarawak, pada Selasa.

Dalam kenyataan bersama, Surbana Jurong dan Invest Sarawak menjelaskan MoU itu dimeterai di Pavilion Singapura yang diadakan di Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Matlamat utama kerjasama itu termasuk mengenal pasti cabaran dan peluang yang ada untuk landskap perindustrian Sarawak, menurut kedua-dua pihak.

Perkara itu antara lain akan merangkumi peluang ekonomi hijau melalui usaha meningkatkan dan membangunkan kemahiran rakyat Sarawak untuk peluang baharu, serta pelaksanaan projek peralihan tenaga dan penyahkarbonan industri yang disepadukan dengan aktiviti industri baharu dan yang telah dilaksanakan.

“Antara ciri utama perkongsian itu termasuk penubuhan bersama usaha niaga taman perindustrian untuk melaksanakan piawaian terbaik dalam kelasnya bagi perancangan, pembangunan dan pengurusan masa depan taman perindustrian baharu yang mengutamakan penyahkarbonan dan sumber tenaga lestari.

“Rakan kongsi akan mengenal pasti peluang penangkapan karbon, terutama dalam sektor penjanaan kuasa seperti penggunaan karbon yang berpotensi dan projek sekuestrasi,” jelas kedua-dua pihak itu.

Pengarah Urusan Tenaga dan Perindustrian yang juga Ketua Boleh Baharu Global Surbana Jurong, Tan Wooi Leong berkata geografi Sarawak yang kaya dengan sumber boleh baharu dan semula jadi akan memberikan peluang besar kepada jurutera tenaga boleh baharu untuk membentuk semula masa depan sifar bersih.

“Syarikat gembira untuk bekerjasama dengan Sarawak bagi memaksimumkan nilai penyahkarbonan merentas penjanaan kuasa dan sektor yang sukar dihentikan, yang semakin memacu agenda dalam pembangunan ekonomi masa depan Sarawak dan kedudukan perindustrian,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak, Timothy Ong Wye Ern berkata perkongsian dengan tumpuan kepada penyahkarbonan itu akan membuka peluang baharu kepada Sarawak untuk menarik dan mengekalkan aliran pelabur yang stabil.

“Perkongsian itu bertujuan memberi kemahiran baharu kepada bakat dalam tenaga boleh baharu yang pastinya meningkatkan keyakinan terhadap prospek ekonomi Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan