PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia telah mencapai 76.1 peratus setakat 30 Nov lepas, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ini bermakna hanya berbaki kurang empat peratus untuk negara mencapai sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini.
Fahmi berkata setelah Malaysia mencapai sasaran itu, kerajaan akan memutuskan untuk mewujudkan rangkaian 5G yang kedua pada masa akan datang.
“Pada 1 Dis yang lepas, kita telah tanda tangan Perjanjian Langganan Saham (SSA), maka kelima-lima syarikat telekomunikasi akan menyuntik RM233 juta ke dalam Digital Nasional Bhd (DNB) setiap satu.
Bererti jumlah itu nanti akan membantu dari segi operasi DNB serta pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata KKD akan mempertimbangkan untuk melanjutkan Pakej 5G Rahmah sehingga Mac 2024 dan perkara itu akan diputuskan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pasukan Petugas 5G.
Beliau berkata ini kerana setakat 30 Okt lepas, masih terdapat baki kira-kira 50 peratus peranti yang belum dibeli daripada hampir 100,000 peranti yang disediakan kepada golongan B40 di negara ini.
“Maka kita ada perbincangan dan memandangkan kita hampir capai 80 peratus sasaran rangkaian 5G, jadi mungkin lebih ramai akan berminat. Kita mungkin akan pertimbang untuk lanjutkan program 5G Rahmah ini,” katanya.
Mengenai perhimpunan bulanan hari ini, Fahmi berkata kestabilan politik di negara ketika ini membolehkan kerajaan berjaya mengumumkan lima dasar penting sepanjang tahun ini.
Beliau berkata lima dasar berkenaan termasuk pengumuman Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), mengkaji semula gaji penjawat awam serta kertas putih mengenai Dasar Gaji Progresif yang telah diluluskan di Parlimen.
“Ini kita boleh anggap sebagai ulang tahun pertama sejak hari pertama saya merakam waktu mulai kerja di KKD. Setahun yang cukup menginsafkan dan mendewasakan, banyak pengalaman dan pengajaran serta beberapa perkara yang telah berjaya kita usahakan.
Jadi saya ambil peluang untuk menyatakan beberapa pencapaian, tapi bukan untuk niat melalaikan, sebaliknya untuk menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk kita berusaha lebih gigih menjelang 2024,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial