KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kumpulan peneraju pemaju hartanah dan prasarana, Gamuda Bhd mencatat prestasi kewangan memberangsangkan bagi suku pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Okt, 2023 (suku pertama 2024) apabila pendapatan terasnya menokok 35 peratus kepada RM195 juta.
Selain itu, perolehan hasil kumpulan mencecah paras baharu dengan meningkat dua kali ganda kepada RM2.8 bilion daripada RM1.4 bilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh angka projek pembinaan luar negara yang meningkat tiga kali kepada RM2.1 bilion.
Dalam kenyataannya hari ini, kumpulan itu berkata ketiadaan pendapatan segmen lebuh raya menyaksikan kedua-dua segmen pembinaan dan hartanahnya mempamerkan peningkatan dengan prestasi yang berdaya tahan, berbeza dengan pendapatan RM145 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2023.
Pertumbuhan ketara itu disumbangkan oleh peningkatan aliran hasil, dipacu terutamanya oleh kenaikan sumbangan daripada projek-projek luar negara.
“Kami menjangkakan prestasi tahun ini akan didorong oleh momentum berterusan aktiviti pembinaan luar negara seperti di Australia dan Taiwan, berserta impak tahun penuh projek perniagaan pengangkutan Australia yang diperoleh daripada Projek Pengangkutan Downer yang dimuktamadkan pada 20 Jun, 2023," katanya.
Gamuda juga menjangkakan jualan hartanahnya yang memberangsangkan, termasuk sumbangan daripada projek pemulihan pantas (QTP) baru dilancarkan di bahagian hartanah akan menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
Daya tahan kumpulan itu juga berteraskan oleh nilai perolehan kontrak pembinaan yang kukuh berjumlah RM26 bilion dan jualan hartanah belum dimasuk kira berjumlah RM6.7 bilion.
“Dalam pada itu, kumpulan berkenaan turut mengekalkan lembaran imbangan yang sihat dengan hutang bersih sebanyak 25 peratus, lebih rendah daripada had ditetapkan pada 70 peratus.
“Kami kekal yakin terhadap trajektori ini dengan memanfaatkan rekod prestasi dan inisiatif strategik bagi mengemudi landskap pembangunan pembinaan dan hartanah yang dinamik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial