EKONOMI

Zon Ekonomi Khas Js-sez Sedia Persekitaran Perniagaan Kondusif - Institut Rehda

07/12/2023 06:29 PM

PETALING JAYA, 7 Dis (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada perniagaan dan menarik pelaburan domestik dan asing.

Pengerusi Institut REHDA Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata perdagangan dua hala antara Singapura-Malaysia mencapai US$83.53 bilion (RM389 bilion) pada 2022 yang menyaksikan kedua-dua negara sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain.

“Johor adalah negeri yang akan diberikan tumpuan tahun depan. SEZ mungkin mendorong pembangunan infrastruktur di rantau ini termasuk pengangkutan, utiliti dan rangkaian komunikasi.

“Langkah ini akan memberikan kesan limpahan positif terhadap pembangunan ekonomi secara keseluruhan, termasuk pembangunan Forest City oleh kumpulan Country Garden," katanya dalam ucaptama pada forum ekonomi dan perniagaan CEO Series 2023 di sini hari ini.

Selain Projek RTS-Link sedia ada antara Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru, beliau yakin pembangunan semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dan lintasan tambahan melalui feri atau jambatan penghubung ketiga akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan.

Projek RTS Link dijangka menerima kapasiti 10,000 penumpang setiap jam di setiap arah, dengan merekodkan sebanyak 40,000 penumpang harian.

“Bagaimanapun, kami juga berharap kerajaan dapat memahami pahit getir industri hartanah. Kenaikan harga bagi bahan bangunan, logistik dan buruh mewujudkan cabaran serius kepada pembinaan dan pembangunan hartanah dan mempunyai kesan limpahan terhadap seluruh rantaian bekalan,” kata Ng.

Pada majlis sama, Institut REHDA dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya (UM) untuk mengukuhkan penyelidikan, akademik dan latihan kepada industri hartanah.

Bidang kerjasama yang dirancang antara Institut REHDA dan UM antara lain meliputi penyelidikan dasar awam, perumahan mampu milik, pembangunan bandar mampan dan pintar, isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), penandaarasan industri dan tinjauan industri dan pengguna serta kumpulan tumpuan.

MoU itu juga diharap mewujudkan peluang penempatan kerja dalam industri dan pembangunan bersama program latihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan