EKONOMI

Belanjawan 2024: Peruntukan Rm9.5 Juta Bagi Input Pertanian Industri Koko Untuk Seluruh Negara - Lkm

07/12/2023 02:06 PM

KUCHING, 7 Dis (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM9.5 juta akan disalurkan sebagai bantuan input pertanian melibatkan seramai 3,295 petani koko di seluruh negara bermula Januari tahun depan menerusi Belanjawan 2024, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Ramle Kasin. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2.5 juta akan disalurkan kepada seramai 555 petani dalam industri berkenaan di Sarawak, merangkumi kira-kira 512 hektar tanaman koko. 

“Sebelum ini ada petani sudah mendapat bantuan tetapi tidak mencukupi…LKM merancang untuk melaksanakan aktiviti pengembangan dengan memberi tunjuk ajar cara terbaik untuk peningkatan produktiviti pengeluaran koko,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Kursus Pelatih Super Koko Sarawak Siri Kedua 2023 di sini hari ini. 

Ramle berkata Sabah dan Semenanjung pula masing-masing menerima peruntukan RM5 juta dan RM2 juta dengan keluasan tanaman melibatkan 1,344 hektar dan 270 hektar. 

Input pertanian seperti baja dan racun, serangga serta perosak koko menjadi antara keluhan petani komoditi berkenaan, justeru bantuan sedemikian dapat meringankan beban para petani, katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata permintaan produk koko dijangka terus meningkat pada bulan ini susulan permintaan produk tersebut pada musim perayaan dan sambutan. 

Sehubungan itu, LKM sangat komited dan berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran RM8 bilion pendapatan eksport produk koko tahun ini, katanya. 

“Pada hujung tahun permintaan coklat meningkat sebab sambutan Krismas dan lain-lain…itu adalah kebiasaan pada hujung tahun, peningkatan akan berlaku disebabkan permintaan tersebut. Dijangka bulan Mac 2024 akan diketahui sama ada sasaran berkenaan dicapai,” katanya.

Pada 30 September lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jumlah pendapatan eksport koko negara mencecah RM4.364 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini. 

Sementara itu, mengenai Kursus Pelatih Super Koko Sarawak Siri Kedua 2023, Ramle berkata seramai 35 peserta yang merupakan petani koko telah menghadiri kursus anjuran LKM dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia itu bertujuan memberi ilmu kaedah pengurusan tanaman koko dan penjagaan tanaman berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan