SUKAN

Jwc: Korea Selatan Hidupkan Peluang Ke Suku Akhir, Atasi Kanada 4-1

07/12/2023 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Empat gol hasil jaringan Dohyun Lim menghidupkan semula peluang Korea Selatan untuk ke suku akhir, selepas mengatasi Kanada 4-1 dalam saingan Kumpulan C kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kanada terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi Robin Thind menerusi jaringan padang.

Pemain Korea Selatan berusia 21 tahun itu kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-37 sebelum menambah jaringan seminit kemudian, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti.

Aksi cemerlang Dohyun bagai tidak dapat disekat apabila terus meledak gol apabila menyempurnakan penlati strok pada minit ke-42 sebelum melengkapkan kemenangan pada minit ke-46 melalui pukulan sudut penalti.

Korea Selatan yang menduduki ranking ke-11 dunia, berkongsi tiga mata dengan Sepanyol dan India namun Sepanyol mendahului dengan kelebihan jaringan, diikuti Kanada tanpa sebarang mata. India akan berdepan Sepanyol dalam satu lagi perlawanan hari ini.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan Young Jang berkata anak buahnya telah diletakkan harapan tinggi untuk menang ketika berdepan Kanada hari ini, demi menyalakan peluang mara ke suku akhir.

“Tiada jalan lain untuk ke suku akhir jika tewas kepada Kanada. Jadi kita mesti menang perlawanan hari ini. Suku pertama, Kanada mendahului namun kita bangkit lebih agresif dan saya minta pemain supaya lebih yakin.

“Untuk perlawanan seterusnya, berdepan Sepanyol, saya tahu perbezaan jaringan antara Korea Selatan dan India agak besar. Saya akan teliti cara permainan mereka dan kita akan cuba sedaya upaya untuk menang,” katanya pada sidang media pascaperlawanan hari ini.

Bagi melengkapkan perlawanan Kumpulan C, Korea Selatan akan berdepan India pada Sabtu ini.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke suku akhir. 

Dalam saingan Kumpulan D pula, Pakistan menjinakkan New Zealand 4-0 untuk mengutip tiga mata sekali gus mengungguli takhta kumpulan.

Gol-gol Pakistan diperoleh menerusi penalti strok Arshad Liaqat pada minit ke-18 diikuti gol padang pada minit ke-30.

Hannan Shahid turut mencatat nama sebagai penjaring apbila menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Arshad melengkapkan kemenangan menerusi jaringan padang pada minit ke-54.

Pakistan menduduki takhta Kumpulan D dengan empat mata, diikuti Belgium (tiga mata) dan Belanda (satu mata) manakala New Zealand tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan