AM

Tiga Agensi Siasat Dakwaan Laman Sesawang Perkeso Digodam - Fahmi

08/12/2023 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan laman pangkalan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) digodam, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk memberikan masa kepada tiga agensi berkenaan untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

"Kadang-kala maklumat dipaparkan dalam Dark Web adalah maklumat lama yang telah di'bungkus' semula dan dipersembah semula seolah-olah maklumat baharu.

...tetapi saya akan dapatkan maklumat dan Insya-Allah pejabat saya akan keluarkan kenyataan kemudian," katanya kepada media pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan badan korporat dan agensi kerajaan yang menjaga dan memproses data terutamanya dalam skala besar untuk berwaspada, selain memastikan organisasi berkenaan  mempunyai ketua pegawai keselamatan maklumat (CISO) untuk meningkatkan tahap keselamatan siber.

Mengulas mengenai isu penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff oleh syarikat Warner Music Malaysia, Fahmi berkata beliau mengambil maklum mengenai isu tersebut dan melihat perkara itu lebih kepada soal kontrak antara Kaka dan syarikat berkenaan.

"Saya sebagai menteri bersimpati tetapi pejabat saya belum dihubungi oleh artis Kaka Azraff namun kita akan lihat apa kita boleh bantu.

Penting untuk saya tegaskan di sini, ia adalah isu kontrak antara dua pihak dan sekiranya ada apa-apa tindakan undang-undang, kita serah kepada mahkamah untuk putuskan," katanya.

Dilaporkan Warner Music Malaysia menamatkan kontraknya dengan Kaka kerana penggunaan “bahasa tertentu” yang dilontarkan ketika penyanyi itu menghantar komen secara langsung kepada pelakon Australia pro-Israel  Nathaniel Buzolic berkenaan video konflik Palestin-Israel yang dimuat naik lelaki itu dalam media sosial. 

Mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, Fahmi berkata seramai 16,000 pengunjung hadir setakat tengah hari ini, dan menjangkakan 200,000 orang akan hadir sepanjang tiga hari penganjuran program itu.

Beliau berkata program itu memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat usaha dan dasar pelbagai kementerian dan agensi untuk manfaat rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan